Wooi Yik (kanan) dan Aaron akan berdepan cabaran pasangan Korea Selatan dalam misi meraih gelaran Terbuka Singapura petang ini. Foto Agensi
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meluahkan penghargaan kepada peminat yang tidak jemu memberi sokongan sehingga membakar semangat mereka untuk mara ke final Terbuka Singapura yang dijadualkan pada jam 5.30 petang ini.
Pasangan nombor tiga dunia itu bakal berdepan cabaran Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dari Korea Selatan dalam misi memburu kejuaraan ketiga musim ini.
Pertemuan itu bukan sekadar perebutan gelaran, namun turut menguji kekuatan fizikal dan mental Aaron-Wooi Yik yang sudah beraksi di pentas final sebanyak empat kali dalam tempoh dua bulan.
“Penyokong Malaysia yang hadir memberi kami suntikan semangat tambahan. Mereka tahu kami mengharungi banyak kejohanan berturut-turut, tetapi kami akan tetap berjuang sehabis mungkin demi negara,” kata Wooi Yik.
Gandingan negara itu mengungguli Kejohanan Badminton Asia (BAC) di China pada pertengahan April lalu.
Ia kemudian disusuli dengan kejuaraan di Terbuka Thailand dua minggu lalu dan muncul naib juara pada Terbuka Malaysia minggu lalu.
“Ini adalah perlawanan terakhir dalam siri kejohanan kami. Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi kami akan berikan segala-galanya,” ujar Aaron.
Mereka mara ke final selepas mengatasi beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam pertarungan sengit 19-21, 21-10, 21-18 di Stadium Tertutup Singapura malam Sabtu.
Satu lagi saingan separuh akhir menyaksikan Won-ho-Seung-jae menyingkirkan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-17, 21-16.
Andai muncul juara, Aaron-Wooi Yik berpeluang membawa pulang wang tunai bernilai AS$74,000 (RM315,000), manakala naib juara bakal meraih AS$35,000 (RM149,000).
Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara meraih gelaran Terbuka Singapura adalah menerusi gandingan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari pada edisi 2008.