PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique menzahirkan penghargaan mendalam kepada penyokong Les Parisiens yang disifatkannya sebagai pemain ke-12 selepas membantu kelab Perancis itu menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Inter Milan di Allianz Arena, Munich pada Ahad.
Dalam perlawanan yang mencatat sejarah itu, pemain muda sensasi, Désiré Doué, menjaringkan dua gol untuk mengetuai kemenangan gemilang PSG, sekali gus membawa pulang Piala Eropah ke Paris.
Enrique yang kelihatan sebak sejurus tamat perlawanan dilihat mengenakan sehelai kemeja-T khas tertera penghormatan kepada mendiang anak perempuannya, Xana yang meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2019 ketika berusia sembilan tahun.
Penyokong-penyokong Les Parisiens turut mengibarkan tifo besar bergambar wajah Xana sebagai tanda sokongan dan penghormatan.
“Saya amat gembira. Ia benar-benar menyentuh perasaan saya apabila melihat kain rentang dari penyokong buat keluarga saya. Namun, fikiran saya sentiasa bersama anak perempuan saya,” ujar Enrique penuh emosi.
Sebaik wisel penamat ditiup, Enrique segera ke bahagian penyokong untuk menukar kemeja-T kepada yang memaparkan ilustrasi Xana sedang menanam bendera PSG ke dalam tanah sebagai simbol kejayaan dan penghormatan.
Persembahan PSG dianggap luar biasa apabila mendominasi perlawanan sejak sepak mula lagi, dan Enrique memuji intensiti tinggi ditampilkan anak buahnya, khasnya Ousmane Dembélé yang beraksi tanpa mengenal penat lelah.
“Sebagai jurulatih, saya perlu mengawal emosi, kita harus bijak mengurus tekanan supaya dapat membantu pemain.
“Kami menyediakan pasukan untuk perlawanan akhir ini dengan ketenangan yang wajar supaya kegembiraan tidak mengatasi persiapan taktikal. Kini kami boleh meraikannya dan membawa pulang trofi ini ke Paris,” katanya.
Kejayaan ini turut mencipta sejarah apabila PSG muncul pasukan Perancis kedua selepas Olympique de Marseille pada tahun 1993 yang berjaya menjulang trofi berprestij Eropah itu.
Apa yang lebih membanggakan, skuad muda PSG ini berjaya melakar pencapaian yang tidak dapat dilakukan oleh generasi terdahulu yang dibarisi bintang seperti Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappé.
Kemenangan ini turut menobatkan Enrique sebagai pengurus kedua selepas bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Pep Guardiola, yang berjaya memenangi treble Liga, Piala dan Liga Juara-Juara dua kali, masing-masing kali pertama bersama Barcelona dan kali kedua dengan mengalahkan Inter.
Enrique turut menzahirkan rasa hormat kepada skuad Inter Milan yang menunjukkan semangat kesukanan tinggi apabila kekal di padang selepas tamat perlawanan untuk memberikan penghormatan kepada pemenang.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Inter, kepada semua pemain dan kakitangan mereka.
“Mereka menunjukkan rasa hormat kepada kami di penghujung perlawanan; ini satu pengajaran buat semua – kita mesti tahu bagaimana untuk menerima kekalahan,” kata Enrique.