Peniaga, guru rugi RM19,609 ditipu cabutan bertuah tidak wujud

Peniaga, guru rugi RM19,609 ditipu cabutan bertuah tidak wujud


KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga dan guru mengalami kerugian RM19,609 selepas ditipu cabutan bertuah Al-Awfar yang tidak wujud dalam dua kejadian berasingan di daerah ini,  semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian pertama melibatkan seorang peniaga berusia 52 tahun mendakwa kerugian RM14,110 selepas menekan pautan satu cabutan bertuah Al-Awfar yang kononnya ditawarkan Bank Islam melalui Facebook.

Menurutnya, kes itu berlaku ketika mangsa sedang berada di kediamannya di Jalan Kepong Pengadang Baru, di sini, semalam, pada pukul 7.15 pagi.

“Beberapa minit kemudian, pengadu menerima notifikasi daripada Bank Islam terdapat pengeluaran wang berlaku daripada tiga akaun bank Islam miliknya berjumlah keseluruhan RM14,110.00 tanpa pengetahuan dan kebenarannya,” katanya.

Sementara itu, Azli memberitahu, kes kedua pula melibatkan seorang guru wanita berusia 52 tahun yang mengalami kerugian RMRM5,499 setelah menekan pautan cabutan bertuah Al- Awfar daripada Bank Islam yang diperolehnya daripada Facebook.

Menurutnya, guru wanita itu menyedari kehilangan wang tersebut setelah membuat semakan dalam aplikasi Bank Islam pada 31 Mei lalu dan wang berkenaan dikeluarkan secara dalam talian pada 30 Mei.

“Pengadu percaya kejadian ini berlaku setelah menekan pautan cabutan bertuah Al- Awfar daripada Bank Islam yang diperolehnya menerusi Facebook dan selepas itu mengalami kehilangan wang di dalam dua akaun Bank Islam miliknya berjumlah RM5,499.00. Kedua-dua kes disiasat itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Katanya, sebanyak 12 kes penipuan pautan cabutan bertuah Al-Awfar telah dilaporkan  dengan jumlah kerugian RM259,103.57 pada tahun ini. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top