KEHADIRAN semula kelab dari Brunei Darussalam, DPMM FC ke saingan Liga Super Malaysia bagi musim 2025–2026 dijangka mampu meningkatkan nilai komersial dan saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik, yang menyifatkan kemasukan semula DPMM FC selepas kali terakhir beraksi pada 2008 sebagai satu nilai tambah kepada liga domestik.
“MFL melihat kehadiran DPMM FC sebagai satu suntikan baharu kepada Liga-M. Kita pernah menyaksikan pemain legenda mereka seperti Patron Akakpo dan Brian Iman Bothwell mewarnai liga ini.
“Kehadiran mereka bukan sahaja menjadikan saingan lebih kompetitif, malah meningkatkan nilai komersial kerana melibatkan dua negara,” katanya pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Perjanjian Penyertaan DPMM FC ke Liga Super 2026–2028 di sini.
Turut hadir, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.
Menurut Mohd Shazli, kehadiran DPMM FC juga dilihat sebagai penambah seri selepas dua pasukan, Perak FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), tidak akan beraksi pada musim hadapan.
Untuk rekod, kali terakhir DPMM FC beraksi dalam Liga Malaysia adalah pada musim 2005–2006 sebelum menyertai Liga Singapura (Liga-S) bermula 2009.
Imigresen FC dan Melaka FC Ganti Perak dan KDA FC
Mengenai penyertaan pasukan lain, Mohd Shazli menjelaskan bahawa Imigresen FC akan beraksi dalam Liga Super musim 2025–2026 setelah menamatkan saingan Liga A1 di tempat kedua, manakala Melaka FC turut mengisi slot setelah kedua-dua pasukan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan MFL.
“Dua pasukan asal Liga Super, iaitu Perak FC dan KDA FC gagal memperoleh lesen kebangsaan dan tidak layak bersaing musim depan. Maka, slot mereka diisi oleh Imigresen FC dan Melaka FC,” katanya.
DPMM sasar tempat keenam
Sementara itu, Pengurus Besar DPMM FC, Md Ali Momin memaklumkan bahawa pasukannya menyasarkan kedudukan enam teratas dalam Liga Super 2025–2026 sebagai sasaran awal.
“Sasaran kami adalah untuk berada dalam kelompok enam teratas. Kami tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi pada peringkat awal,” katanya pada majlis yang sama.
Md Ali yang juga pernah membantu skuad Brunei menjuarai Piala Malaysia 1999 berkata, DPMM FC akan cuba memberikan saingan kepada pasukan ternama seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
“Insya-ALLAH, kami akan cuba beri saingan yang sengit. Mungkin pada permulaan kami akan berdepan kesukaran kerana sudah lama meninggalkan Liga Malaysia,” ujarnya.
Hanya tujuh pemain import
Md Ali turut memaklumkan bahawa pihaknya merancang untuk mendaftar hanya tujuh pemain import walaupun MFL membenarkan setiap kelab mendaftarkan sehingga 15 pemain import untuk musim hadapan.
“Perancangan kami setakat ini adalah menandatangani tujuh pemain import sahaja.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan dengan MFL, pemain dari Malaysia juga boleh bermain di Brunei dan didaftarkan sebagai pemain tempatan. Ini merupakan petanda baik untuk kelab dalam mengisi posisi yang diperlukan,” katanya.