PEREJAM utama negara, Azlan Alias, yang diberi cuti sakit selama dua bulan, bakal berdepan tindakan disiplin selepas didapati beraksi dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) walaupun masih dalam tempoh pemulihan.
Situasi tersebut mencetuskan rasa kecewa Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, yang berkata pemain itu dan pasukannya, Melaka Titans, perlu menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tujuh hari bermula 3 Jun lalu.
Mohd Sumali. Foto Bernama
Azlan dilaporkan mengalami keretakan pada bahagian siku kiri selepas menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil.
“Saya memang kecewa apabila melihat Azlan bermain sedangkan dia sepatutnya dalam proses pemulihan, berdasarkan nasihat dan laporan yang dikeluarkan oleh doktor yang merawatnya dan pihak ISN.
“Anda bintang, bermain hebat atau anda nombor satu atau nombor negatif, tetapi kalau tiada disiplin, tidak menghormati kepimpinan (PSM) dan arahan-arahan, terutamanya daripada doktor, saya kenalah ambil tindakan,” katanya.
Kecederaan tersebut dialami semasa aksi final acara regu berpasukan Piala Asia 2025 antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur, Mei lalu.

Laporan Sukan Sinar sebelum ini berhubung kecederaan yang dialami Azlan.
Susulan kecederaan itu dan berdasarkan laporan ujian imbasan MRI, Azlan dinasihatkan berehat antara empat hingga enam minggu bagi menjalani rawatan dan sesi fisioterapi secara intensif.
Namun, di sebalik kecederaan itu, Azlan dilihat ‘melanggar pantang’ apabila beraksi dalam beberapa perlawanan Divisyen 1 untuk Melaka Titans baru-baru ini.
“Takkan saya nak biar, ini pengajaran kepada semua pemain. Sebab ini dalam konteks anda pemain Malaysia, keutamaan kita ialah Malaysia dulu,” tegas Sumali.
Tindakan pemain itu juga, tegas beliau, seolah-olah mencabar kesahihan laporan perubatan.
“Jika pemain mengabaikan nasihat doktor dan ISN, ia satu perkara yang amat dikesalkan. Tempoh rehat bertujuan memastikan dia pulih sepenuhnya dan bersedia untuk kejohanan akan datang.
“Apabila melanggar arahan ini, seolah-olah dia tidak menghormati apa yang doktor dan pakar ISN nasihatkan. Laporan perubatan termasuk imbasan MRI sudah dikeluarkan.
“Jika dia mengalami kecederaan pada perlawanan itu dan terpaksa berehat lebih lama, contohnya enam bulan, siapa yang akan bertanggungjawab? Dia pemain kebangsaan dan turut digaji oleh negara,” tegas Sumali lagi.
Skuad sepak takraw bakal menggalas cabaran negara dalam saingan Piala Raja Thai bulan depan dan Sukan SEA di Bangkok akhir tahun ini.