Bas kilang terbabas dan terbalik dipercayai akibat masalah brek

Bas kilang terbabas dan terbalik dipercayai akibat masalah brek


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Bas kilang membawa pekerja warga asing yang terbabas dan terbalik di Jalan P/4, Kawasan Perindustrian Bangi, Bandar Baru Bangi, di sini hari ini dipercayai mengalami masalah brek.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 6.45 pagi dengan bas membawa 46 penumpang itu dalam perjalanan dari Putra Kajang menghala ke Kawasan Perindustrian Bangi.

Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkan seorang penumpang parah, manakala penumpang lain mengalami kecederaan ringan.

Katanya, pemandu warga tempatan berusia 34 tahun mendakwa hanya menyedari brek kenderaan tidak berfungsi ketika mahu menurunkan penumpang dan sebaik tiba di lokasi, ia hilang kawalan sebelum bas terbalik di selekoh persimpangan jalan.

“Kejadian itu menyebabkan seorang penumpang cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Serdang, manakala penumpang lain mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Klinik Kesihatan Bangi.

“Semua mangsa adalah warga Nepal berusia antara 20 hingga 40 tahun dan pekerja kilang di Bandar Baru Bangi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496 untuk membantu siasatan.

“Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dengan memastikan keselamatan kenderaan dan sentiasa berhati-hati semasa memandu,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, bas kilang membawa pekerja warga asing terbabas dan terbalik di Bandar Baru Bangi, di sini menyebabkan 33 orang mengalami kecederaan ringan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dipetik berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.59 pagi dan tiba di lokasi 7.05 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top