Elon Musk sudah hilang akal – Trump

Elon Musk sudah hilang akal – Trump


Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan pada Jumaat bahawa Elon Musk sudah ‘hilang akal’, namun menegaskan bahawa beliau mahu melupakan perbalahan ‘panas’ dengan bekas sekutu bilionairnya itu.

Trump sudah membatalkan rancangan untuk membuat panggilan dengan Musk bahkan sedang mempertimbang untuk menyingkirkan Tesla merah yang dibelinya ketika hubungan mereka masih erat, kata pegawai Rumah Putih kepada AFP.

“Sejujurnya saya terlalu sibuk bekerja dengan China, bekerja dengan Rusia, bekerja dengan Iran. Saya tidak fikirkan mengenai Elon Musk, saya hanya doakan yang terbaik untuknya,” kata Trump kepada wartawan di atas pesawat Air Force One dalam perjalanan ke padang golfnya di New Jersey pada Jumaat.

Terdahulu, Trump memberitahu penyiar AS bahawa beliau kini mahu memberi tumpuan untuk meluluskan rang undang-undang mega ‘besar, ‘cantik’ beliau di Kongres yang mana kritikan tajam Musk terhadapnya mencetuskan perbalahan antara mereka.

Namun ahli politik Republikan berusia 78 tahun itu tidak dapat menahan diri daripada menyerang rakan yang kini menjadi musuhnya itu yang berasal dari Afrika Selatan.

“Anda maksudkan lelaki yang sudah hilang akal?” kata Trump dalam satu panggilan dengan ABC apabila ditanya mengenai Musk, sambil menambah bahawa beliau tidak begitu berminat untuk bercakap dengan bilionair itu.

Trump kemudian memberitahu Fox News bahawa Musk sudah ‘kehilangan arah’.

Selepas Musk menyifatkan rang undang-undang perbelanjaan Trump sebagai ‘penghinaan’ pada Selasa, Trump membalas dalam satu ucapan keras di Pejabat Oval pada Khamis dengan menyatakan kekecewaannya terhadap usahawan itu.

Rang undang-undang perbelanjaan Trump menghadapi laluan sukar di Kongres kerana ia akan meningkatkan defisit AS, manakala pengkritik menyatakan ia akan memotong perkhidmatan kesihatan untuk jutaan rakyat Amerika yang paling miskin.

Pertelingkahan itu kemudian menjadi semakin serius dengan Musk melontarkan penghinaan kepada Trump dan menuduhnya tanpa bukti berada dalam fail kerajaan berkaitan tokoh kewangan dan pesalah seks yang tercemar, Jeffrey Epstein.

Trump membalas dengan kuasa kerajaan AS di belakangnya dan menyatakan bahawa beliau boleh membatalkan kontrak peluru berpandu serta satelit bernilai berbilion dolar milik ketua SpaceX itu.

Saham Tesla jatuh lebih 14 peratus pada Khamis akibat pertelingkahan itu menyebabkan syarikat berkenaan kehilangan sekitar $100 bilion (RM422 billion) dalam nilai pasaran, namun sebahagiannya pulih pada Jumaat.

Trump kini mempertimbangkan untuk menjual atau menghadiahkan Tesla S merah ceri yang diumumkan beliau sudah dibeli daripada syarikat Musk pada Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top