Ancelotti akui pengalaman sarat emosi kendali Brazil

Ancelotti akui pengalaman sarat emosi kendali Brazil


PENGENDALI Brazil, Carlo Ancelotti menyifatkan penampilan sulungnya bersama Selecao sebagai pengalaman yang sarat emosi biarpun perlawanan kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan itu berlangsung hambar.

Ancelotti sebelum itu mengemudi Brazil dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan meraih keputusan seri tanpa jaringan 0-0 menentang Ecuador di Estadio Monumental Banco Pichincha.

“Perlawanan pertama saya mengendalikan pasukan kebangsaan, hati saya merasai sesuatu yang istimewa.

“Saya telah berada di bangku simpanan selama lebih 1,800 perlawanan (kelab) dan yang ini sangat istimewa.

“Saya rasa boleh membuat penilaian mengenai tempoh pertama ini. Saya gembira dengan sambutan yang diberikan, saya berasa senang bekerja dengan CBF (Persekutuan Bola Sepak Brazil) dan, bagi saya, berada di sini adalah satu anugerah,” ujar Ancelotti.

Jurulatih berusia 65 tahun dari Itali itu, yang sebelum ini menikmati kerjaya kelab yang sarat trofi, mula mengemudi skuad Selecao pada akhir Mei selepas meninggalkan Real Madrid.

Juara Piala Dunia lima kali itu gagal menembusi benteng pertahanan Ecuador yang kental, dengan percubaan terbaik pemain tengah Flamengo, Gerson, yang hampir memecah kebuntuan di Guayaquil.

Peluang terbaik Ecuador pula muncul pada penghujung separuh masa pertama, namun tandukan penyerang Venezia, John Yeboah, sekadar melambung di atas palang gol.

Brazil cuba mencari gol kemenangan, menyaksikan penjaga gol Gonzalo Valle melakukan penyelamatan cemerlang menafikan percubaan pemain tengah Manchester United, Casemiro, namun tuan rumah berjaya mempertahankan keputusan seri.

Keputusan ini meletakkan Brazil di tempat keempat dalam kumpulan kelayakan dengan 22 mata selepas 15 perlawanan.

Ecuador pula berada di tempat kedua dengan 24 mata, 10 mata di belakang pendahulu dan juara bertahan Piala Dunia, Argentina.

Pada masa sama, Ancelotti mengakui Brazil mempunyai barisan pemain berkualiti tinggi.

“Cuma kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih, tetapi ada kemungkinan untuk peningkatan kerana kami mempunyai kualiti.

“Saya yakin kami akan meningkat dalam serangan. Hari ini kami kehilangan seorang pemain penting, Raphinha (penyerang Barcelona itu menjalani penggantungan satu perlawanan). Kami perlu bermain dengan lebih ritma, mobiliti, dan intensiti. Saya yakin kami akan melakukannya di laman sendiri,” tambah Ancelotti, yang pasukannya akan melayan kunjungan Paraguay dalam perlawanan seterusnya pada 11 Jun.

Dalam perlawanan lain, Argentina dibarisi Lionel Messi menewaskan Chile 1-0 hasil jaringan penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez.

Pemain tengah Inter Miami, Messi, masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, mengukuhkan kedudukan pasukan di puncak kelayakan.

Paraguay pula menewaskan Uruguay 2-0 untuk berkongsi mata di tangga kedua bersama Ecuador.

Pemain tengah Talleres, Matias Galarza, membuka tirai jaringan, sebelum penyerang Brighton, Julio Enciso, memastikan kemenangan melalui sepakan penalti sembilan minit sebelum tamat.

Enam pasukan teratas dalam jadual akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.



Source link

OR

Scroll to Top