TIADA sebarang makluman diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung tayangan skrin gergasi di Johor sempena aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata perkara itu akan diumumkan di laman sosial miliknya sebaik mendapat makluman daripada KBS bagi menyediakan tayangan skrin gergasi berkenaan.
“Setakat ini KBS tak beri apa makluman, tetapi tak mengapa, saya akan maklumkan dalam media sosial saya nanti. Saya akan ambil inisiatif ini sekiranya mendapat permintaan tinggi dari pada masyarakat.
“Maklumlah, perlawanan ini juga merupakan perlawanan yang penting untuk skuad Harimau Malaya,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Korban Perdana di Surau Jumaat Taman Skudai Kanan, di sini, pada Ahad.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya kini berkongsi tiga mata dengan skuad Naga Emas itu, namun dibezakan dengan jumlah jaringan.
Sementara itu Mohd Hairi berkata, dia akan turut berada di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.
“Insya-ALLAH, saya akan turut berada di Stadium nanti untuk berikan sokongan kepada pasukan Harimau Malaya,” katanya.