Tiket aksi Harimau Malaya, Vietnam laku keras

Tiket aksi Harimau Malaya, Vietnam laku keras


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Misi memenuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan lautan Kuning Hitam semakin hampir tercapai apabila jualan tiket bagi aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Vietnam laku keras.

Ketika ini, hampir 35,000 tiket sudah terjual dan angka itu dijangka akan terus meningkat ke 55,000 hingga 60,000 pada hari perlawanan Selasa ini.

Menerusi maklumat dalaman diperoleh, tiket kategori grandstand dan premium difahamkan habis terjual termasuk tiket bagi pintu C yang sudah kehabisan ibarat ‘pisang goreng’ panas.

Malah, jualan tiket bagi tempat duduk tingkat 1 dan 2 bagi setiap pintu masuk juga makin berkurangan dengan pihak pengurusan bercadang untuk membuka tingkat 3 SNBJ sekiranya kesemua tempat duduk tingkat 1 dan 2 penuh.

Perkembangan positif itu sememangnya diharapkan oleh barisan pemain skuad Harimau Malaya yang turun dengan misi memburu kemenangan ke atas skuad Naga Emas itu.

Antara yang mendambakan sokongan ribuan penyokong dalam perlawanan itu nanti adalah pemain warisan negara, Hector Hevel yang akui aura dan gema laungan ‘pemain ke-12’ bukan saja akan menaikkan motivasi pemain negara, malah mampu menggentarkan jiwa pihak lawan.

“Sudah tentu saya teruja (bermain di SNBJ). Kami akan bermain di depan penyokong sendiri di mana kami mengharapkan sokongan padu peminat yang hadir nanti.

“Kami pasti akan gembira apabila melihat stadium dipenuhi oleh penyokong kerana kehadiran mereka akan memberi rangsangan tinggi kepada kami.

“Kehadiran penyokong memang diperlukan ketika ini dalam misi kita untuk mencari jaringan dan kemenangan dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top