Jojo sedih tewas di tangan Paez, enggan beri banyak alasan

Jojo sedih tewas di tangan Paez, enggan beri banyak alasan


JAGUH Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar tidak dapat menahan sebak selepas tewas kepada petarung Colombia-Amerika, Diego Paez dalam aksi penuh sengit ONE Fight Night 32 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand pada Sabtu.

Johan atau lebih mesra dikenali sebagai Jojo, gagal menyembunyikan emosinya ketika ditemu bual sejurus tamat pertarungan selain dia menegaskan tidak mahu memberikan banyak alasan di sebalik kekalahan tersebut.

“Pertama sekali, terima kasih semua. Jojo tak nak bagi alasan banyak… cuma terima kasih semua dan jumpa pada pertarungan seterusnya, Insya-ALLAH,” katanya ringkas kepada Astro Arena.

Dalam pertarungan tiga pusingan kategori flyweight itu, Jojo mempersembahkan aksi bertenaga dan penuh semangat, namun terpaksa akur dengan keputusan juri yang berpihak kepada Paez secara split decision.

Seorang daripada tiga juri memberikan kemenangan kepada wakil Malaysia itu, namun dua lagi memilih Paez, sekali gus menyaksikan Jojo menamatkan perlawanan dengan kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas kepada petarung Colombia, Johan Estupinan pada Januari lalu.

Setakat ini, Jojo telah merekodkan enam kemenangan dan tiga kekalahan sejak menyertai ONE Championship.

Sementara itu, kemenangan tersebut merupakan kejayaan pertama buat Paez dalam pentas ONE Championship selepas sebelum ini tewas kepada Sean Climaco dari Amerika Syarikat pada ONE Fight Night 28, Februari lalu.



Source link

OR

Scroll to Top