kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jenama ayam goreng tempatan yang semakin mencuri tumpuan, Ahmad’s Fried Chicken (Ahmad’s) terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri makanan dan minuman (F&B) apabila menyasarkan pembukaan 66 cawangan baharu sepanjang tahun ini.
Pengasas Bersama Ahmad’s, Lailatul Sarahjana Mohd Ismail berkata, setakat enam bulan pertama 2025, Ahmad’s berjaya membuka 30 outlet termasuk empat restoran, lima restoran mini serta 21 kios di beberapa negeri termasuk Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Katanya, Ahmad’s menerima sambutan begitu menggalakkan terutama daripada penggemar ayam goreng dan setakat ini, terdapat 24 menu warisan tempatan termasuk ayam goreng rangup, burger dan pelbagai hidangan tambahan lain ditawarkan.
“Dalam tempoh enam bulan akan datang, 36 cawangan baharu dirancang dibuka di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan serta Sabah dan Sarawak.
“Kami turut membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk menjadi rakan niaga Ahmad’s melalui model perkongsian perniagaan,” katanya yang ditemui di majlis perasmian cawangan Ahmad’s ke-30 Setiawangsa di sini, baru-baru ini.
Lailatul berkata, pihaknya yakin inisiatif perkongsian perniagaan ini akan memberi peluang lebih ramai usahawan memiliki perniagaan jenama ayam goreng tempatan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia, sekali gus mempercepatkan proses membawa sajian warisan Ahmad’s kepada pelanggan di seluruh negara.
Beliau berkata, Ahmad’s yang dikendalikan di bawah syarikat Mad Bean Holdings Sdn Bhd turut merancang untuk melebarkan operasi ke luar negara antaranya Makkah, Brunei, Turkiye dan Amerika Syarikat.
“Sekarang ini, kami sedang dalam proses lebarkan sayap ke luar negara dan semua cawangan Ahmad’s di negara yang kami sasarkan ini dijangka akan dibuka pada tahun depan.
“Makkah dan Madinah, Arab Saudi dikenal pasti sebagai lokasi potensi pertama kami untuk tembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, perancangan membuka cawangan bukan sahaja di Malaysia malah luar negara adalah sebahagian usaha menyumbang kepada pembangunan ekosistem F&B tempatan serta membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam sektor ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd