Susun gerak kerja dakwah agar mencapai kejayaan

Susun gerak kerja dakwah agar mencapai kejayaan


Ustazah Raziah Zainal Karip
– Advertisement –

KOTA BHARU: Hijrah bermaksud perpindahan daripada satu tempat ke satu tempat yang lain, kata Timbalan Ketua Pengelola 2 Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan, Ustazah Raziah Zainal Karip.

– Advertisement –

Katanya, hijrah dalam konteks Islam ialah perpindahan Nabi s.a.w dari Mekah ke Madinah dan ia merupakan perintah Allah SWT.

Menurutnya, ia bukan secara kebetulan tetapi penuh dengan perancangan rapi bagi mencapai tujuan dakwah mengajak manusia kepada kebenaran.

Katanya, Allah menyatakan keutamaan hijrah di dalam al-Quran iaitu ayat 100, Surah al-Nisa yang bermaksud: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

“Dalam kehidupan masyarakat Islam kini, peristiwa hijrah sangat relavan untuk dijadikan iktibar dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan. Terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa hijrah Nabi s.a.w,” katanya lagi ketika diminta mengulas keistimewaan bulan Muharam.

Menurutnya, pertama, Nabi s.a.w telah menunjukkan contoh teladan melakukan strategi hijrah dengan menyediakan sahabat baginda, Saidina Ali r.a sebagai pengganti yang berada di tempat tidur baginda s.a.w sebagai langkah mengaburi pihak musuh yang sedang mencari Nabi s.a.w untuk dibunuh.

Oleh yang demikian, katanya, sebagai umat Islam perlu melakukan strategi dalam menyusun gerak kerja perjuangan dakwah agar mencapai kejayaan.

Kedua, ujarnya melalui peristiwa hijrah, sifat sabar dan tawakal Nabi s.a.w kepada Allah SWT dapat diteladani.

“Pelbagai kesukaran yang ditempuhi oleh baginda s.a.w seperti dikejar oleh puak kafir Quraisy, diancam bunuh, menempuh perjalanan yang jauh dan seumpamanya.

“Sebagai muslim yang baik, kita perlu menanamkan sifat sabar dan keyakinan yang tinggi kepada pertolongan Allah SWT dan tidak mudah berputus asa dalam apa jua usaha yang dilakukan,” jelasnya.

Ketiga, ujarnya lagi pengorbanan perlu dilakukan dalam mencapai matlamat dalam kehidupan.

Menurutnya, peristiwa hijrah Nabi s.a.w telah mengajar erti pengorbanan jiwa dan harta benda yang menjadi turning point perubahan dan pemangkin kepada kejayaan penyebaran syiar Islam ke seluruh dunia.

“Suatu tuntutan yang perlu difahami oleh setiap individu Muslim di negara ini khususnya rakyat di negeri Kelantan ialah hijrah dan perubahan,” ujarnya.

Tambahnya, perubahan yang diperlukan ialah dari perkara atau sikap yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang lebih baik.

Katanya. perubahan dalam kehidupan memerlukan pengorbanan dan ia akan diganjari dengan pahala yang besar jika dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT.

Menurit Raziah lagi, sebagai pendakwah, anggota Dakwah Halaqat Negeri Kelantan dilatih untuk sentiasa melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh dan membuat perancangan yang teliti sebelum melakukan sesuatu.

“Mengambil ibrah dari peristiwa hijrah Nabi s.a.w, para pendakwah diseru memainkan peranan sebagai agen penyambung risalah Nabi s.a.w dengan mencontohi sifat tenang dan tabah mendepani cabaran.

“Dalam menghdapi suasana masyarakat dunia yang serba maju kini, pendakwah perlu membekalkan diri dengan sifat-sifat terpuji yang dimiliki Nabi s.a.w seperti sifat sanggup berkorban masa dan tenaga demi mencapai keredhaan Allah SWT,” katanya. 

Tambahnya, para pendakwah juga mesti menjadi sahabat yang saling membantu dan hormat menghormati sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w bersama sahabat baginda Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a dalam perjalanan hijrah ketika berada dalam Gua Thur dan seumpamanya.

“Akhir sekali sebagai pendakwah, peristiwa hijrah Nabi s.a.w mengajar kita agar berusaha memperbaiki diri kepada yang lebih baik. Melaksanakan amanah yang diberi sebagai tanggungjawab yang perlu digalas sebaik mungkin.

“Peranan utama pendakwah ialah menyampaikan ilmu dan kefahaman tentang Islam, merungkai kekusutan, menjelaskan kekeliruan dan memimpin umat ke jalan kebenaran agar terhindar dari kesesatan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/7/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top