Konvoi aktivis pro-Palestin sedia tembusi sekatan Israel

Konvoi aktivis pro-Palestin sedia tembusi sekatan Israel


Tripoli: Ratusan aktivis pro-Palestin yang menyertai konvoi darat menuju Gaza tiba di ibu kota Libya, Tripoli, semalam dalam usaha menembusi sekatan Israel ke atas wilayah Palestin itu.

Konvoi Soumoud – bermaksud ‘keteguhan’ dalam bahasa Arab – berlepas dari Tunis pada Isnin lalu menggunakan bas dan kereta, merancang untuk merentasi Libya dan Mesir.

Namun, penganjur masih menunggu kelulusan laluan daripada pihak berkuasa Mesir.

Ketibaan mereka di Tripoli disambut meriah oleh ratusan penduduk tempatan dan dikawal oleh pasukan polis.

Perdana Menteri Libya yang berpangkalan di Tripoli, Abdulhamid Dbeibah, menyifatkan konvoi itu sebagai ‘inisiatif kemanusiaan bersaudara’ yang membuktikan komitmen dan solidariti Libya terhadap Gaza.

“Inilah contoh komitmen dan kemurahan hati Libya dalam menyokong rakyat Gaza yang terus disekat dan diserang,” katanya dalam kenyataan.

Konvoi itu dilancarkan pada hari sama Israel memintas sebuah kapal bantuan yang membawa 12 individu termasuk aktivis Greta Thunberg dan Ahli Parlimen Eropah keturunan Franco-Palestin, Rima Hassan.

Setakat ini, konvoi itu terdiri daripada kira-kira 12 bas dan 100 kenderaan lain, dan jumlah peserta dijangka bertambah sepanjang perjalanan.

Aktivis dari Algeria, Mauritania, Maghribi dan Libya turut serta.

Namun, halangan muncul apabila mereka perlu menyeberangi timur Libya yang dikawal oleh pentadbiran lain, menimbulkan keraguan sama ada mereka dapat meneruskan ke sempadan Mesir – yang masih belum memberikan kelulusan rasmi.

Jurucakap konvoi, Ghassen Henchiri, memaklumkan kepada media Tunisia bahawa rundingan dengan pihak berkuasa Mesir masih berjalan. “Setakat ini, kami belum menerima maklum balas rasmi,” katanya.

Sementara itu, PBB menyatakan Gaza kini ‘tempat paling lapar di dunia’, dengan perang yang berlarutan selama 20 bulan semakin menekan Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan disalurkan.

“Saya rasa seperti berada di Gaza, bersama saudara-saudara Palestin,” kata Souhour al-Qatif, penduduk Tripoli yang hadir memberi sokongan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top