PENGENDALI England, Thomas Tuchel menegaskan bahawa semangat membara bintang tengah Real Madrid, Jude Bellingham menjadi aset penting yang diperlukan The Three Lions, meskipun mengakui terdapat segelintir pihak yang menganggap sesetengah tingkah laku Bellingham di padang sebagai ‘mengecewakan’.
Malah, Tuchel turut percaya bahawa pengkritik tidak benar-benar mengenali Bellingham sebagai ‘budak istimewa’ seperti yang dikenali beliau.
Bellingham, 21, menunjukkan kemarahan yang jelas apabila golnya pada separuh masa kedua dibatalkan oleh keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam perlawanan persahabatan menentang Senegal ketika England ketinggalan 1-2 pada Rabu.
Sebagai rekod, England tewas 1-3 di Stadium City Ground, kekalahan pertama Tuchel sebagai pengendali pasukan kebangsaan England, yang juga merupakan pasukan pilihan ke Piala Dunia 2026.
Dalam satu temu bual, Tuchel menyatakan bahawa semangat membara dalam diri Bellingham adalah sesuatu yang tidak seharusnya dipadamkan, sebaliknya perlu disalurkan ke arah yang betul.
“Saya fikir beliau membawa kelebihan yang kami alu-alukan dan sangat perlukan jika kami mahu mencapai kejayaan besar dalam pasukan.
“Ia perlu disalurkan ke arah lawan dan ke arah matlamat kami, bukan untuk menakut-nakutkan rakan sepasukan atau bersikap terlalu agresif terhadap rakan sepasukan dan pegawai, tetapi sentiasa ke arah penyelesaian dan kemenangan.
“Beliau memiliki ‘api’ semangat ini dan saya tidak mahu memadamkannya. Beliau harus bermain dengan semangat ini, tetapi ‘api’ itu datang dengan beberapa impak yang boleh menakutkan anda — mungkin juga sebagai rakan sepasukan,” jelas Tuchel.
Tuchel bagaimanapun mengakui bahawa Bellingham kadangkala menyalurkan kemarahannya kepada pengadil dalam corak permainannya.
“Jika dia dapat menyalurkannya dengan cara yang betul, kami dapat membantunya dalam hal ini, maka sudah tentu beliau memiliki sesuatu yang kami perlukan — satu kelebihan khusus yang sukar dicari.
“Dia seorang budak yang baik, sangat terbuka, cerdas dan setakat ini sangat mudah untuk dikendalikan,” kata bekas pengendali Chelsea itu.
Apabila diajukan soalan mengenai kemungkinan segelintir penyokong merasakan England akan lebih baik tanpa Bellingham dalam pasukan, Tuchel membalas: “Saya sukar untuk melihatnya. Sebaliknya, kita perlu mencari cara untuk mendapatkan versi terbaik daripadanya, agar orang faham nilai yang dia bawa kepada kami dan kelebihan tertentu yang dimilikinya.
“Saya faham ia boleh menimbulkan emosi bercampur. Saya melihat ini dengan ibu bapa saya — dengan ibu saya — apabila beliau kadang-kadang tidak dapat melihat budak lelaki yang baik, berpendidikan tinggi dan berkelakuan baik yang saya kenali.
“Jika dia tersenyum, dia boleh memikat semua orang. Tetapi kadang-kadang, anda melihat kemarahan, kelaparan, dan ‘api’ itu muncul dengan cara yang mungkin kelihatan sedikit menjijikkan contohnya, bagi ibu saya yang menonton di hadapan TV. Saya faham, tetapi secara keseluruhan, kami sangat gembira memilikinya. Dia seorang budak istimewa.”
Dalam perlawanan menentang Senegal, Tuchel melakukan 10 pertukaran terhadap kesebelasan utamanya berbanding kemenangan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Andorra pada Ahad, dengan hanya kapten Harry Kane mengekalkan tempatnya.
Ditanya mengenai usaha mendapatkan yang terbaik daripada bakat sedia ada dan sama ada pemain individu mungkin perlu menyesuaikan diri demi kebaikan pasukan, Tuchel berkata: “Gareth [Southgate] dan Lee [Carsley] mencuba untuk membawa seramai mungkin pemain berbakat tinggi ini bersama. Saya juga sedang mencuba ketika ini dan kami masih merasakan kami kekurangan semangat dan kegembiraan secara konsisten di peringkat antarabangsa.
“Saya hanya boleh menekankan bahawa individu perlu berkorban demi kebaikan yang lebih besar. Terpulang kepada kami untuk mencari gabungan yang tepat, pasukan yang tepat, keserasian yang betul dan hubungan yang kukuh dalam pasukan agar mereka gembira bermain bersama. Kami belum berjaya melakukannya sepenuhnya.
“Kem pertama adalah langkah ke arah yang betul manakala kem kedua agak bercampur-campur. Kami akan memasuki bulan September, Oktober dan November, di mana secara semula jadi pemilihan akan menjadi lebih kompetitif dan nada pasukan lebih mantap kerana kami menghampiri tahun Piala Dunia.”
Dua perlawanan seterusnya England dijadualkan pada September, masing-masing menentang Andorra dan Serbia dalam saingan kelayakan Piala Dunia.
Pasukan kendalian Tuchel kini mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan pertama mereka tanpa bolos sebarang gol, sekaligus menduduki puncak Kumpulan K.