BEBERAPA tonggak utama dan pemain berprofil tinggi disisihkan daripada senarai skuad Chelsea dan Manchester City bagi menghadapi Piala Dunia Kelab yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat (AS) pada 15 Jun ini.
Chelsea, juara Liga Konferensi Europa tidak menyenaraikan empat pemain yang secara kolektif menelan belanja sekitar £179 juta dalam yuran perpindahan, kesemuanya menghabiskan musim lalu secara pinjaman di kelab lain daripada senarai 28 pemain ke temasya kelab dunia itu.
Ini termasuk penyerang England, Raheem Sterling, 30, yang dibeli dengan harga £50 juta dari Manchester City pada 2022 tetapi hanya memulakan 13 perlawanan dan menjaringkan satu gol semasa dipinjamkan ke Arsenal musim lalu.
Selain itu, penyerang Portugal, Joao Felix, 25, yang berpindah secara tetap ke Chelsea pada musim panas lalu dengan kos £45 juta dan menjaringkan tujuh gol daripada 20 penampilan sebelum dipinjamkan ke AC Milan turut tidak tersenarai.
Pertahanan Perancis, Axel Disasi, 27, yang dibeli dengan harga £38.5 juta dari Monaco pada 2023 dan bermain dalam 17 perlawanan sebelum dipinjamkan ke Aston Villa juga tidak termasuk dalam skuad kendalian Enzo Maresca.
Begitu juga dengan Ben Chilwell, bek kiri England berusia 28 tahun yang ditandatangani pada 2020 dengan harga £45 juta.
Chilwell hanya bermain satu perlawanan untuk Chelsea musim lalu sebelum menghabiskan sisa musim secara pinjaman di Crystal Palace, malah kekal di bangku simpanan dalam kemenangan Eagles di final Piala FA menentang Manchester City.
Penjaga gol Serbia, Djordje Petrovic, 25, juga tidak akan ke AS selepas dipinjamkan ke kelab liga Perancis, RC Strasbourg, musim lalu.
SKUAD CHELSEA
Penjaga Gol:
Robert Sanchez, Filip Jorgensen, Mike Penders, Gaga Slonina
Pertahanan:
Marc Cucurella, Tosin Adarabioyo, Benoit Badiashile, Levi Colwill, Mamadou Sarr, Moises Caicedo, Trevoh Chalobah, Reece James, Malo Gusto, Aaron Anselmino, Josh Acheampong
Pemain Tengah:
Pedro Neto, Enzo Fernandez, Cole Palmer, Noni Madueke, Dario Essugo, Andrey Santos, Kiernan Dewsbury-Hall, Romeo Lavia
Penyerang:
Liam Delap, Nicolas Jackson, Christopher Nkunku, Tyrique George, Marc Guiu
Di kem Manchester City, penyerang England, Jack Grealish berkemungkinan tidak tersenarai memandangkan pemain berusia 29 tahun itu hanya memulakan tujuh perlawanan liga pada musim 2024/25.
Skuad 27 pemain City juga tidak menyertakan bekas kapten, Kyle Walker, yang menghabiskan separuh kedua musim lalu secara pinjaman di AC Milan.
Bagaimanapun, pertahanan England, John Stones, yang tidak bermain sejak Februari akibat kecederaan paha disenaraikan bagi menggalas cabaran The Citizens kendalian Pep Guardiola itu.
Edisi pertama format Piala Dunia Kelab yang diperluaskan ini dijangka akan membawa persaingan sengit, namun tanpa kelibat beberapa bintang besar ini, peminat pasti tertanya-tanya mengenai strategi kedua-dua kelab gergasi Inggeris ini.