Liam-Zayn dan Cools meraikan kemenangan bersejarah Hariamu Malaya di Bukit Jalil. Foto Dion Cools
DEMIKIAN coretan tulus Dion Cools, pemain pertahanan skuad kebangsaan, menerusi laman media sosialnya dua hari selepas mencipta detik manis bersama Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-0 dalam saingan Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.
Dalam suasana penuh semangat dan emosi itu, Cools turut berkongsi detik istimewa melalui satu hantaran menyentuh hati iaitu sekeping gambar anak lelakinya, Liam-Zayn hasil perkongsiannya bersama Melissa Schelfhout, disertakan kapsyen: “Dia salah seorang daripada 61,512 penonton yang menyaksikan malam gemilang skuad Harimau Malaya.
“Terima kasih atas sokongan, ucapan dan mesej yang indah,” tulisnya dalam hantaran ringkas tetapi penuh makna di laman sosialnya, disertakan emoji harimau, wajah sejuk dan kapal terbang menggambarkan semangatnya sebagai pejuang negara dan peralihan ke destinasi baharu.
Bagi Cools, kemenangan besar itu bukan sahaja kejayaan buat negara, tetapi turut menjadi hadiah peribadi bermakna yang diraikan bersama keluarga tercinta.
Ketika anak kecilnya menyaksikan dari bangku penonton bersama ribuan ekor Harimau Malaya, bapanya di atas padang menampilkan aksi penuh wibawa,
menyumbang kepada kemenangan meyakinkan Harimau Malaya ke atas skuad Naga Emas kendalian Kim Sang-sik.
Perlawanan tersebut juga menjadi kemuncak tugasan antarabangsa Cools sebelum beliau menyahut cabaran baharu di peringkat kelab.
Pemain berusia 29 tahun itu, yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya pada 4 Jun, kini sah menyertai kelab Cerezo Osaka dalam saingan divisyen utama bola sepak Jepun, Liga J1.
Cools sebelum ini beraksi dua musim bersama Buriram United, gergasi bola sepak Thailand yang mana beliau membuktikan kredibiliti sebagai pertahanan ampuh dan pemain serba boleh yang menjadi azimat sebelum ke bumi Sakura.