am@hmetro.com.my
Kulim: “Terima kasih rakyat Malaysia kerana membantu menyalurkan sumbangan selepas kisah anak saya disiarkan akhbar ini, semalam.
“Saya harap impian Muhammad Iqbal Hakim Baharin, 11, untuk memakai tangan palsu tercapai untuk memudahkan dia ke sekolah semula,” kata Nor Athykhoh Mohd Nordin, 43.
Menurut Nor Athykoh, anak sulung daripada dua beradik itu akan menjalani rawatan kemoterapi pusingan kedua di ke Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.
Katanya, dia mengharapkan doa daripada orang ramai supaya anaknya sihat dan dapat kembali ke sekolah semula.
“Kalau dapat tangan palsu lebih cepat, mungkin lebih cepatlah dia ke sekolah tetapi dalam tempoh terdekat ini bagi dia rehat dahulu selepas menjalani pembedahan potong tangan kanan pada Mei lalu.
“Muhammad Iqbal akan menjalani kemoterapi di HPP hari ini tetapi saya tak pasti lama mana dia akan berada di wad,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, nasib yang menimpa Muhammad Iqbal Hakim mendapat simpati daripada Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM).
CSM yang dihadiri Pengerusinya, Zuraini Kamal turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur untuk Muhammad Iqbal Hakim ketika mengunjungi kanak-kanak itu di rumahnya di Taman Kobis, di sini hari ini.
Zuraini berkata, selain itu pihaknya akan menghadiahkan sebuah ‘mini tablet’ yang diidamkan oleh kanak-kanak itu untuk menggembirakan hatinya.
“CSM bersimpati dengan nasib yang menimpa Muhammad Iqbal Hakim apabila tangan kanannya terpaksa dipotong akibat sel kanser yang sudah pun merebak.
“Rawatan kanser memakan masa yang panjang, jadi kami akan menghadiahkan ‘mini tablet’ untuknya supaya dapat menggunakannya untuk belajar secara dalam talian atau menonton video dan sebagainya.
“CSM juga berharap ada pihak yang sudi membantu menyalurkan sumbangan supaya Muhammad Iqbal Hakim mendapat tangan palsu (robotic arm) bagi membolehkannya menggunakan tangan kanan seperti biasa,” katanya.
Zuraini berkata, ibunya memberitahu yang Muhammad Iqbal minat melukis, jadi tangan palsu mungkin dapat membantunya.
Beliau berkata, Muhammad Iqbal juga menyatakan yang dia rindu untuk kembali ke sekolah selepas lebih lima bulan bercuti.
Harian Metro semalam melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memerlukan bantuan tangan palsu selepas tangan kanannya rosak dan terpaksa dipotong akibat kanser tulang tahap empat.
© New Straits Times Press (M) Bhd