‘Inter Miami boleh jadi juara’

‘Inter Miami boleh jadi juara’


Suarez (kanan) dan Messi dijangka diturunkan dalam perlawanan pertama menentang kelab Mesir, Al-Ahly di Stadium Hard Rock pagi ini. – Foto: Agensi

PENYERANG veteran Uruguay, Luis Suarez menyuarakan keyakinan bahawa Inter Miami mampu mencipta kejutan pada saingan Piala Dunia Kelab 2025, termasuk menewaskan pasukan elit Eropah.

Bekas pemain Barcelona dan Atletico Madrid itu menegaskan pengalaman luasnya beraksi di Eropah membolehkannya memahami kelebihan serta kekangan yang bakal dihadapi pasukan-pasukan dari benua tersebut, terutama dari segi keletihan selepas melalui musim panjang.

“Sudah tentu, kelab-kelab Eropah lebih tersusun dari segi struktur dan pemain yang mereka miliki. Tetapi kita juga tahu mereka akan datang selepas musim yang panjang dan meletihkan,” kata Suarez kepada ESPN.

“Para pemain pasti bersemangat beraksi menentang kelab seperti Atletico Madrid, PSG, Manchester City, Real Madrid, Juventus, Inter Milan dan Bayern Munich.

“Mereka pasukan hebat, tetapi saya percaya akan ada keputusan yang mengejutkan.

“Mudah-mudahan, kejutan itu datang daripada kami,” ujarnya.

Inter Miami diundi dalam Kumpulan A bersama Palmeiras, FC Porto dan Al-Ahly.

Turut menjadi tumpuan adalah gandingan Suarez bersama tiga bekas rakan sepasukannya di Barcelona iaitu Lionel Messi, Sergio Busquets dan Jordi Alba yang menjadi tunjang utama skuad Inter Miami.

Piala Dunia Kelab 2025 menyaksikan format baharu melibatkan 32 kelab terbaik dunia dan berlangsung di Amerika Syarikat.



Source link

OR

Scroll to Top