Perjalanan Tengku Shah (kanan) dan Jenn Ming dalam saingan Piala Dunia Dart di Jerman berakhir di peringkat kalah mati pada Sabtu.
IMPIAN wakil negara untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Dunia Dart 2025 di Frankfurt, Jerman terhenti di peringkat kalah mati pada Sabtu.
Duo, Tengku Hadzali Shah Tengku Mustaffa-Tan Jenn Ming tumpas 3-8 kepada pasangan pilihan ke-14, Karel Sedlacek-Petr Krivka dari Republik Czech.
Mereka sebelum ini memahat sejarah apabila mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama selepas menduduki tangga teratas Kumpulan F.
Kejayaan tersebut diraih menerusi kemenangan mengagumkan 4-1 ke atas pasangan ke-10 dunia, Matt Campbell-Jim Long dari Kanada pada Khamis.
Tengku Shah-Jenn Ming kemudian menumpaskan pasangan Denmark, Benjamin Drue Reus-Andreas Hyllgaardhus pada Jumaat.
Pasangan negara mara ke pentas dunia itu selepas mengalahkan gandingan Singapura dan Taiwan untuk memenangi Pusingan Kelayakan Asia.
Sebagai rekod, hanya pemenang peringkat kumpulan yang mara ke pusingan 16 terbaik.
Selain Malaysia, Filipina turut menjadi wakil Asia melangkah ke saingan kalah mati.