PENAUNG Kelab Bola Sepak KL Rangers FC, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan bahawa kelab itu memilih pendekatan berhati-hati dalam menyusun hala tuju mereka dalam saingan Liga A2 tanpa meletakkan sasaran tergesa-gesa untuk naik ke Liga A1 dan seterusnya ke Liga Super.
Menurut Nik Nazmi, misi utama kelab itu adalah untuk kekal stabil, wujud dalam kancah liga selain memastikan aspek kewangan kelab berada dalam keadaan terkawal sekali gus memastikan kebajikan pemain terjaga.
“Kita fokus pada saingan Liga A2. Saya ada bergurau (dalam ucapan) kata nak naik liga setiap tahun, tapi hakikatnya kita tahu itu cabaran besar dan tidak mudah. Kita tidak mahu bergerak terlalu pantas sehingga tidak mampan.
“Bagi saya, perkara paling realistik sekarang adalah survival dahulu. Kita pastikan segala komitmen tahun ini, terutama kewangan dapat dilunaskan. Yang penting kita terus ada dalam liga ini tahun depan.
“Secara jujurnya, dalam perbincangan kita pun tidak ada bincang soal tentang naik liga. Kita lebih fokus kepada kesinambungan. Sebab bagi saya, kelangsungan sebuah kelab bola sepak itu jauh lebih penting terutamanya di Malaysia.
“Jadi, tak mahu kita bercakap besar sekarang tapi tahun depan kita terus tutup kedai dan sebagainya. Kalau ada rezeki dalam dua atau tiga tahun akan datang, mungkin kita akan pertimbangkan untuk naik, bergantung kepada prestasi, perhatian daripada penaja-penaja yang lebih besar dan sebagainya,” katanya dalam Majlis Pelancaran Jersi Baharu KL Rangers di Taman Eko Rimba, Kuala Lumpur pada Ahad.
KL Rangers yang dahulunya dikenali sebagai Setiawangsa Rangers buat pertama kalinya akan tampil dalam saingan Liga A2 tahun ini manakala skuad wanita pula beraksi dalam Liga Wanita Nasional.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa yakin keputusannya untuk meletakkan jawatan selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam tidak akan menjejaskan komitmen penaja terhadap pasukan KL Rangers.
“Saya tak rasa ia akan memberi kesan, kerana orang dapat tengok rekod kelab ini. Bermula pada 2018 sebagai Setiawangsa Rangers ketika saya hanya ahli Parlimen biasa. Selepas itu, saya jadi ahli Parlimen pembangkang. Kemudian, saya jadi menteri dan tidak lama lagi tidak akan jadi menteri.
“ Itu bagi saya kejayaan secara peribadi. Saya tidak nafikan ada orang akan pandang juga tetapi saya yakin orang akan lihat ini sebagai satu kelab bola sepak yang ada kekuatannya yang tersendiri. Kita juga tak lagi mahu dilihat hanya sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata,” katanya.
Sebaliknya, jelasnya, KL Rangers kini berfungsi sebagai sebuah entiti profesional yang membuka peluang kepada syarikat untuk menjalin kerjasama strategik.
“Kita mahu KL Rangers dilihat sebagai peluang perniagaan, platform pemasaran dan rakan kongsi untuk syarikat-syarikat menganjurkan program melibatkan komuniti.
“Bila mereka terlibat, ada pulangan (ROI). Ia bukan sekadar hulur dana tanpa hasil. Ini tiada kaitan sama ada saya menteri atau tidak, tetapi berkaitan dengan kekuatan dan potensi KL Rangers itu sendiri.
“Dan Alhamdulillah, ada rakan-rakan penaja yang telah bersama kami sejak awal dan masih bersama kami sehingga hari ini,” ujarnya.