am@hmetromcom.my
Tanjung Malim: Kira-kira 5,000 tetamu hadir sempena Majlis Tahlil Perdana anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), malam ini.
Suasana sedih dapat dirasai oleh seluruh tetamu yang hadir selepas genap tujuh hari peristiwa 15 pelajar UPSI yang maut dalam kemalangan bas di Gerik, 9 Jun lalu.
Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda kasih dan ingatan abadi mangsa yang terbabit.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, beliau secara peribadi dan pihak KPT menyampaikan ucapan takziah yang paling mendalam kepada semua keluarga mangsa.
Katanya, kehilangan ini terlalu besar dan anak-anak ini bukan sekadar pelajar tetapi harapan keluarga, masyarakat, dan negara yang sedang meniti jalan ilmu, menggalas impian, namun perjalanan mereka.
“Pelajar yang masih dalam rawatan, saya dan seluruh warga KPT mendoakan semoga diberi kekuatan dan kesembuhan.
“Kami tahu betapa perit dan pedihnya ujian ini. Namun kami juga percaya semangat kalian tidak mudah padam. Jangan pernah berputus asa. Kami akan terus berdiri di belakang kalian.
“Kepada waris, ketahuilah anda tidak bersendirian. Dalam setiap doa, dalam setiap usaha kami bersama anda. Negara ini turut menangisi kehilangan ini.
“Kami di KPT, UPSI dan seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di sisi kalian,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah dan Naib Cancelor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Dr Zambry berkata, KPT dan UPSI sudah menubuhkan Tabung KPT Prihatin bagi mengumpul sumbangan untuk mangsa dan keluarga mangsa nahas sehingga Jumaat ini.
Beliau berkata, tabung ini ditubuhkan khusus untuk membantu kebajikan pelajar, waris dan petugas yang terkesan.
“Setakat hari ini, lebih 40 universiti, agensi, pihak korporat menyatakan kesediaan untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM 1.7 juta yang sudah dan akan disalurkan secara berperingkat.
“Malah, sehingga hari (Isnin) ini juga bantuan wang tunai sebanyak RM 371,000.00 sudah diserahkan kepada pelajar dan waris yang terkesan,” katanya.
Mengimbas kembali saat insiden berkenaan, beliau berkata beliau segera ke hospital sebaik menerima berita musibah berkenaan bukan hanya sebagai menteri, tetapi sebagai seorang manusia yang turut berduka.
Katanya, beliau mengambil peluang bertemu sendiri dengan mangsa dan waris serta mendengar rintihan mereka dalam suasana begitu menyentuh hati dan pilu yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.
© New Straits Times Press (M) Bhd