SEPANJANG hari, kita pasti akan menadah tangan berdoa kepada ALLAH SWT, paling kurang pun lima kali sehari iaitu selepas menunaikan solat fardu.
Adakalanya doa dibaca terlalu pendek kerana mengejar masa dan ada ketikanya pula, lafaz munajat panjang berjela hingga segala yang dihajatkan dan terbuku dalam hati disenaraikan satu per satu.
Pendakwah Ustazah Asma’ Harun mengajak umat Islam untuk merenung kembali setiap lafaz yang diucapkan kerana ada waktunya meskipun kita sudah merintih, hati tetap terasa belum tenang walaupun doa dibaca pendek atau panjang.
USTAZAH ASMA’
“Kita mahu kesembuhan, rezeki, ketenangan, kejayaan anak-anak dan lain-lain, tetapi dalam banyak-banyak permohonan, adakah kita pernah renung, doa apa yang paling kerap Nabi Muhammad SAW sendiri baca?” soalnya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman media sosial miliknya baru-baru ini.
Penceramah terkemuka itu kemudian berkongsikan doa yang sering dilazimkan oleh Rasulullah SAW untuk kita hayati dan amalkan bersama.
Ia berbunyi: Rabbana aatina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, wa qina ‘azabannar (Ya ALLAH, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah al-Baqarah: 201)
“Meskipun ungkapan ini sangat ringkas dan kerap disebut pada penghujung setiap bacaan doa kita, namun adakah kita benar-benar menghayatinya?
“Di sebalik ringkasnya lafaz ini, tersembunyi permintaan yang paling lengkap bagi seorang hamba,” ungkapnya.
Berikut ialah kelebihan amalan itu sebagaimana dikongsikan oleh Ustazah Asma’:
1. Doa memohon kesejahteraan dunia dan akhirat
Menurut beliau, Tafsir Ibnu Kathir menjelaskan, ayat itu membuktikan bahawa ALLAH SWT tidak akan mengecewakan harapan seseorang yang bersungguh-sungguh merendahkan diri kepada-NYA.
“DIA tidak akan menolak dan mengabaikan doa seseorang, bahkan DIA MAHA MENDENGAR doa.
“Dalam pengertian ini, terkandung anjuran untuk sentiasa berdoa dan bahawa ALLAH SWT tidak akan mensia-siakan doa yang dipanjatkan kepada-NYA,” katanya.

UMAT Islam lazimnya akan berdoa usai mendirikan solat fardu lima waktu. -Foto: CANVA
2. Doa paling kerap dilafazkan oleh Nabi Muhammad SAW
Dalam sebuah hadis, ada dinyatakan bahawa: “Doa Nabi Muhammad SAW yang paling sering diucapkan ialah ‘Ya ALLAH, ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.” (Muttafaqun alaih)
3. Kisah Baginda SAW menziarahi lelaki yang sakit parah
Dalam satu peristiwa, Rasulullah SAW pernah menziarahi seorang sahabat yang sedang sakit. Tubuhnya kurus dan lemah seperti anak burung kecil.
Lalu, Baginda SAW bertanya kepadanya: “Adakah kamu pernah berdoa sesuatu kepada ALLAH?”
Lelaki itu menjawab: “Ya, aku berdoa ‘ya ALLAH, azab yang ENGKAU akan beri kepadaku di akhirat, segerakanlah semuanya di dunia.”
Rasulullah SAW menegur dengan penuh kasih sayang: “Subhanallah, kamu tidak akan mampu menanggungnya. Kenapa tidak kamu berdoa seperti ini sahaja.”
Lalu Baginda ajarkan doa: “Rabbana aatina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, wa qina ‘azabannar.” (Hadis Riwayat Muslim)

DOA bukan sekadar ucapan pada bibir, sebaliknya ia adalah bentuk penyerahan sepenuh jiwa, mengharapkan kurniaan terbaik di dunia dan akhirat. -Foto: CANVA
Melihat kepada semua keistimewaan itu, ujar Ustazah Asma’, amalan itu ialah bentuk permohonan paling seimbang iaitu tidak terlalu cenderung kepada dunia hingga melupakan akhirat dan tidak pula terlalu takutkan akhirat hingga mengabaikan kehidupan duniawi.
“Kadangkala kita terlalu memikirkan bagaimana nak susun ayat dalam doa, tetapi Rasulullah SAW dah pun ajarkan satu doa yang lengkap semuanya.
“Amalkanlah dan pastikan anak-anak, seluruh keluarga menghafalnya. Ulangi dengan hati yang sedar dan sungguh-sungguh, minta untuk diri, keluarga dan semua insan yang kita sayangi.
“Insya-ALLAH dengan doa ini, sebenarnya kita sedang menyerahkan hidup kita kepada ALLAH dalam bentuk yang paling lembut dan paling cukup,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri coretannya, Ustazah Asma’ mengingatkan, doa bukan sekadar ucapan pada bibir, sebaliknya ia adalah bentuk penyerahan sepenuh jiwa, mengharapkan kurniaan terbaik di dunia dan akhirat.

ORANG yang sentiasa memohon kebaikan dunia dan akhirat itulah orang yang sedang berjalan menuju reda-NYA. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Mohonlah agar dijauhkan daripada apa jua yang boleh membawa kita ke meraka, walau sekecil-kecil dosa.
“Percayalah, orang yang sentiasa memohon kebaikan dunia dan akhirat itulah orang yang sedang berjalan menuju reda-NYA. Mudah-mudahan kita dijemput ALLAH dalam keadaan husnul khatimah dan jiwa yang bersih,” titipnya.