Reijnders mula terasa 'bahang' City

Reijnders mula terasa 'bahang' City


Philadelphia: Tijjani Reijnders berkata, dia sudah mula merasai tekanan untuk memenangi trofi selepas berpindah dari AC Milan ke Manchester City.

City menamatkan musim lalu tanpa sebarang kejuaraan selepas menduduki tempat ketiga dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tewas pada final Piala FA kepada Crystal Palace.

Ia kali pertama pasukan kendalian Pep Guardiola gagal memenangi sebarang trofi utama sejak 2017, dan Reijnders menyatakan tekanan kini semakin memuncak untuk memperbaiki keadaan itu, bermula dengan Piala Dunia Kelab FIFA.

“City salah satu kelab terbesar di dunia dan jika anda bermain untuk kelab seperti ini, anda wajib memenangi kejuaraan,” kata Reijnders.

“Sebaik sahaja City datang, ia hampir keputusan yang tidak perlu difikirkan panjang. Pilihan yang mudah akhirnya. Bermain bola sepak Eropah itu penting, dan bermain untuk City adalah satu impian.”

Selepas tiba di City dari Milan dalam jendela perpindahan khas yang diwujudkan untuk Piala Dunia Kelab, Reijnders berkemungkinan membuat penampilan sulung menentang Wydad AC di Philadelphia pada tengah malam esok.

Pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan 10 gol liga dari posisi tengah musim lalu dan berharap dapat menambah bilangan itu dalam jersi City.

“Itulah yang saya lakukan musim lalu bersama Milan, lebih kerap berada dalam senarai penjaring,” katanya.

“Sebagai pemain tengah, sangat penting untuk menjaringkan gol dan itulah yang saya cari, gol dan bantuan jaringan.

“Pada musim pertama saya di Milan, saya tidak tenang apabila mendapat peluang di hadapan gol dan itusesuatu yang saya fikirkan semasa musim panas selepasnya.

“Saya menonton semula rakaman ketika saya berada dalam situasi tersebut dan cuba menyesuaikan diri pada musim kedua untuk lebih tenang di hadapan pintu gol.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top