Malaysia perlu melabur menyokong masyarakat menua

Malaysia perlu melabur menyokong masyarakat menua


KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melabur dalam sistem kesihatan, penjagaan sosial, perumahan, kewangan dan industri yang menyokong masyarakat menua di negara jika mahu menjadi peneraju yang proaktif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini disebabkan unjuran ekonomi usia lanjut global dijangka mencecah lebih RM275.7 trilion (AS$65 trilion) menjelang tahun 2030.

Katanya, di Malaysia sendiri, rakyat dijangka hidup sehingga umur 76 tahun tetapi sembilan tahun terakhirnya dihabiskan dengan masalah kesihatan atau kualiti hidup yang rendah dan jurang itu semakin melebar sejak tahun 2000.

Tegasnya, perkara itu adalah seruan kepada semua pihak untuk memberi tumpuan lebih besar kepada sektor kesihatan terutamanya langkah pencegahan, pendidikan kesihatan awam dan sokongan berasaskan komuniti.

“Kita sudah mula mengambil langkah berani. Kertas Putih Kesihatan yang berteraskan pencegahan, akses saksama dan reformasi menyeluruh kekal sebagai kompas kita. Belanjawan 2025 memperuntukkan RM45.3 bilion untuk kesihatan iaitu peningkatan 9.8 peratus dari tahun sebelumnya.

“Inisiatif utama termasuk mewajibkan fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti memaparkan harga ubat iaitu satu dasar yang menggalakkan persaingan sihat dan mengurangkan beban kewangan rakyat.

“Namun, reformasi kesihatan memerlukan lebih daripada tindakan kerajaan. Inisiatif Rakan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mencerminkan pendekatan menyeluruh negara, memperkukuh penyampaian perkhidmatan melalui kerjasama sektor awam dan swasta seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan GLIC (Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2025: “Hidup Sehingga 100 Tahun: Sudahkah Kita Bersedia”, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, tema persidangan tahun ini mengajak semua pihak untuk merenung implikasi kehidupan yang semakin panjang dengan menilai semula kesejahteraan diri, perancangan ekonomi, kelangsungan masyarakat dan bersatu.

Katanya, dahulu, hidup sehingga usia 100 tahun adalah mustahil bahkan menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia hanya mempunyai kurang daripada 10 warga emas berusia 100 tahun pada awal 1970-an namun hari ini, bilangannya melebihi 1,000 orang dan dijangka terus meningkat.

“Persoalan sebenarnya bukan lagi sama ada kita semakin panjang usia, tetapi adakah kita sedang menyesuaikan diri? Dasar awam mesti menyedari bahawa penuaan adalah satu transformasi sosial bukan sekadar trend. Adakah institusi, dasar dan pemikiran kita bersedia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kehidupan yang panjang juga bermakna peningkatan perbelanjaan buat individu, keluarga dan kerajaan, oleh itu, pekerjaan mesti dibayar dengan adil supaya pekerja menerima upah bermaruah dan pengagihan kemakmuran negara secara adil.

Justeru, katanya, di bawah Kerangka Ekonomi Madani, kerajaan komited untuk meningkatkan bahagian pendapatan pekerja kepada 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 32 peratus pada 2023.

“Kita telah menaikkan gaji minimum sebanyak 13 peratus tahun ini. Polisi Gaji Progresif dan inisiatif GEAR-uP oleh GLIC merupakan bukti perubahan struktur bermula dengan tindakan yang adil.

“Namun, gaji yang adil sahaja tidak mencukupi. Sistem perlindungan sosial perlu diperkuat bagi menyokong kehidupan yang lebih panjang dan kompleks. Perluasan perlindungan KWSP kepada pekerja migran adalah langkah penting ke arah pengukuhan jaringan keselamatan sosial,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top