am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memfailkan saman fitnah terhadap seorang ahli politik yang juga pensyarah sebuah universiti awam, minggu lalu.
Melalui saman berkenaan, Mohd Na’im menamakan Dr Abu Hafiz Salleh Hudin selaku defendan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Akberdin & Co, pada 14 Jun lalu.
Ia adalah berhubung kenyataan berbaur fitnah yang didakwa disiarkan defendan di aplikasi X dan laman sosial Facebook.
Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Na’im berkata, sejak penghujung 2024, defendan menunjukkan pola konsisten menerusi pelbagai kenyataan awam, sama ada melalui posting di akaun X atau akaun Facebook miliknya atau kenyataan yang disiarkan portal berita.
Menurutnya, ia secara langsung atau tidak langsung menyentuh dan menyerang dirinya secara tidak adil dan keterlaluan.
Beliau berkata, pada 5 Februari dan 4 Mei lalu, Abu Hafiz membuat pernyataan fitnah yang diterbitkan semula oleh defendan melalui satu posting di akaun X beliau (defendan), yang berniat jahat dan tidak benar.
Katanya, ia membawa maksud antaranya beliau adalah seorang pemimpin yang angkuh, keras kepala dan sombong, yang menolak nasihat serta enggan menerima pandangan orang lain dalam membuat keputusan berkaitan agama.
Menurut plaintif, ia juga bermaksud beliau gagal menjalankan tugas dengan berkesan, walaupun dalam perkara mudah, sehingga menyebabkan dasar dan inisiatif kerajaan menjadi bahan ejekan dan ditolak oleh sebahagian Ahli Parlimen di Parlimen.
Mohd Na’im berkata, ia turut bermaksud bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang angkuh, elitis dan tidak cakna dengan nilai kesederhanaan, seolah-olah menganggap dirinya lebih tinggi daripada pegawai lain, dan bertentangan dengan prinsip kepimpinan Islam.
Beliau berkata, pada 6 Mei lalu pula, defendan atau wakilnya memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan satu rakaman siniar (podcast) di platform Facebook di bawah akaun yang dikenali sebagai Iswardy Morni Utama.
“Ia adalah melampaui keraguan bahawa defendan mempunyai niat jahat terhadap saya. Ia adalah jelas juga bahawa defendan berniat untuk menyebabkan ketidakharmonian dalam masyarakat dengan memfitnah saya,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Na’im menuntut daripada defendan antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan dan memohon injunksi supaya memadamkan posting berkenaan serta menghalang ia daripada disiarkan semula.
© New Straits Times Press (M) Bhd