BEKAS pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof, menegaskan bahawa tidak wujud perbezaan ketara dari sudut fizikal antara pemain naturalisasi, warisan dan pemain tempatan.
Sebaliknya, beliau berkata, perbezaan sebenar terletak pada aspek pemikiran, ketenangan serta kebijaksanaan membuat keputusan di atas padang.
Menurut Azmeer, keupayaan pemain naturalisasi dan warisan untuk bertindak beberapa langkah lebih awal sebelum menerima bola atau sebelum pemain lawan sempat membuat keputusan menjadi kunci utama kepada keberkesanan mereka dalam skuad Harimau Malaya.
“Perbezaan terbesar antara kita dan mereka ialah cara berfikir. Mereka sudah berfikir tiga, empat langkah ke hadapan sebelum bola sampai ke kaki. Sebelum lawan bertindak, mereka sudah bertindak. Sebelum lawan membuat keputusan, mereka sudah menjaringkan gol,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalamannya sendiri yang cuba meniru pendekatan berkenaan semasa bergelar pemain profesional, namun mengakui proses tersebut tidak semudah yang disangka.
“Kadang-kadang saya cuba untuk berfikir beberapa langkah ke hadapan, tapi teknik untuk bertindak dan membuat keputusan itu lambat sampai dalam diri ini. Sedangkan mereka dalam satu masa sudah lengkap semuanya – berfikir, bertindak dan membuat keputusan,” ujarnya.
Azmeer turut mengakui bahawa dari segi teknikal seperti hantaran, tandukan dan terjahan, tiada perbezaan ketara antara pemain tempatan dan import.
“Cara passing sama, guna kaki dalam. Cara sepakan pun sama, guna bahagian hadapan kasut bola. Tanduk sama, mendada sama, ‘sliding tackle’ pun sama. Yang membezakan ialah pemikiran dan ketenangan,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, elemen ketenangan dalam situasi bertekanan tinggi adalah satu lagi faktor yang menjadikan pemain naturalisasi dan warisan tampak lebih menyerlah berbanding sesetengah pemain tempatan.
“Walau berdepan tekanan, pemain-pemain ini masih mampu kekal tenang. Tetapi pemain tempatan kadang-kadang hanya tahu nak ‘clear’ bola. Walaupun berpengalaman, tetap ambil keputusan untuk buang bola. Di sini pentingnya ketenangan dan kebijaksanaan,” katanya.
Dalam pada itu, Azmeer menyeru seluruh komuniti bola sepak negara agar menghormati perbezaan pandangan mengenai kehadiran pemain naturalisasi dan warisan dalam skuad kebangsaan.
“Yang bersetuju dengan kehadiran pemain naturalisasi dan warisan, kita raikan. Yang tak bersetuju pun kita raikan. Tak perlu bergaduh. Semua kejayaan atau kegagalan adalah dengan izin ALLAH,” katanya sambil menyentuh nilai kepercayaan kepada takdir Ilahi.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya mencuri perhatian selepas mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini, hasil gabungan mantap antara pemain tempatan, warisan dan naturalisasi, sekali gus membuka dimensi baharu dalam perancangan skuad kebangsaan.