KEJOHANAN Ragbi Antarabangsa Johor Tujuh Sebelah (Johor 7s) 2025 yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 29 Jun ini di Stadium Ragbi Johor, dijangka mencatat sejarah sebagai edisi paling besar pernah dianjurkan sejak penganjuran sulungnya.
Kejohanan tahunan yang memasuki edisi kelapan itu diterajui oleh Kesatuan Ragbi Negeri Johor dan dianggap antara kejohanan ragbi tujuh sebelah paling berprestij di zon selatan Semenanjung Malaysia.
Presidennya, Datuk Mohd Noorazam Osman, menzahirkan keyakinan bahawa kejohanan tahun ini bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan ragbi di negeri Johor secara menyeluruh.
“Kehadiran pasukan antarabangsa menjadikan edisi kali ini sebagai yang terbesar setakat ini dan akan memberikan impak yang signifikan terhadap landskap sukan ragbi di Johor,” katanya.
Menurut beliau lagi, penganjuran berskala besar seperti ini bukan sahaja meningkatkan imej sukan ragbi di peringkat negeri, malah turut menyemarakkan usaha melahirkan lebih ramai bakat muda di peringkat akar umbi.
“Sukan ragbi kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, dan kita sedang menyaksikan perubahan yang positif dari segi penyertaan serta minat generasi muda,” jelasnya.
Sebanyak 36 kelab ragbi dari lima negara – Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei – akan menyertai kejohanan kali ini, termasuk penyertaan beberapa pemain kebangsaan dari negara-negara terbabit.
Kehadiran pemain bertaraf antarabangsa menjadikan Johor 7s 2025 bukan sekadar pentas persaingan biasa, malah satu medan kompetitif yang berprestij dan berkualiti tinggi.
Lebih menarik, kejohanan ini turut menjadi platform persediaan penting buat pasukan-pasukan menjelang Kejuaraan 7s Asia dan temasya Sukan SEA Bangkok 2025 yang dijadual berlangsung pada Disember depan.
Turut serta dalam kejohanan ini ialah pasukan-pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) dari Johor, Melaka, Terengganu, Pahang dan Sarawak yang dijangka menyuntik elemen pembangunan akar umbi serta memperlihatkan potensi besar dalam kalangan pemain muda tempatan.
Penganjuran Johor 7s 2025 turut menerima dokongan penuh daripada Majlis Sukan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Perbadanan Stadium Johor.
Beberapa entiti korporat seperti Exsim Development Sdn Bhd, Brightmark, AST, Rugger District dan Faiz Sports turut tampil sebagai penaja rasmi kejohanan.