am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Kemunculan ‘bas sapu’ sejak setahun lalu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga buat pemandu kereta sewa di sekitar daerah ini.
Sudahlah kekurangan penumpang membuatkan golongan itu kurang pendapatan, kini kemunculan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna permit bas persiaran dengan mengambil penumpang dalam bandar semakin menekan pemandu kereta sewa dalam bandar itu.
Baharuddin Abu Bakar, 55, berkata pendapatan pemandu kereta sewa kini berkurang hampir tiga perempat sejak wujudnya perkhidmatan e-hailing selain bas yang lebih murah serta percuma dan kini muncul pula bas sapu.
“Bas sapu ini bas persiaran yang ambil penumpang, maknanya mereka salah guna permit. Mereka ambil penumpang dari Tenggaroh, bawa ke sini dan balik ke sana.
“Mereka dalam ladang di sana iaitu warga asing jika mahu keluar, bas sapu inilah yang ambil hantar mereka. Itu bas persiaran, tak boleh, semakin terjejaslah pendapatan kami,” katanya ketika ditemui di Terminal Bas dan Teksi Tun Seri Lanang di sini, semalam.
Baharuddin yang juga Setiausaha Gabungan Persatuan Pemandu-pemandu Kereta Sewa Negeri Johor berkata, sehingga kini dua pertiga pemilik kereta sewa memulangkan permit kerana tidak dapat bertahan dengan isu kekurangan pendapatan ini.
“Dulu Kota Tinggi ada 300 pemegang permit, tetapi sekarang ini ada berapa puluh sahaja sebab masalah penumpang tiada,” jelasnya yang sudah 30 tahun berkhidmat membawa kereta sewa.
Selain itu, katanya, Kota Tinggi yang juga kawasan pelancongan, tidak menyumbang kepada pendapatan mereka kerana beberapa lokasi pelancongan ditutup seperti Air Terjun Kota Tinggi.
“Tiada tarikan lain yang ada di sini yang orang nak pergi. Kalau dulu kami inilah ‘Duta Kecil’, jadi harapnya dengan adanya Tahun Melawat Johor 2026, pelancong akan datang dan guna kereta sewa kami untuk bantu naikkan pendapatan kami,” rayunya.
Sementara itu, Abd Ghani Abd Samad, 63, yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu-pemandu Kereta Sewa Daerah Kota Tinggi berkata, mereka memohon kerjasama kerajaan membantu bagi mendapatkan permit atau lesen untuk kereta sewa turut menjalankan perkhidmatan e-hailing.
“Macam teksi mereka boleh buat e-hailing sekali, macam kami kereta sewa tak boleh. Jika kerajaan boleh bantu, kami kereta sewa pun nak buat e-hailing, jadi bolehlah tambah mata pencarian kami,” katanya.
Menurutnya, pemandu kereta sewa juga memohon kerajaan mengembalikan beberapa insentif seperti bantuan tayar dan subsidi minyak.
Untuk rekod, kini terdapat 500 sahaja pemandu kereta sewa di seluruh negeri yang mana hanya 70 yang aktif di daerah ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd