Mohd Najwan (tengah) semasa sidang media selepas Sesi Jalinan Media bersama Sekretariat SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Shah Alam, pada Khamis. – FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) dimuktamadkan sebagai lokasi rasmi majlis perasmian Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, sekali gus mencipta sejarah sebagai venue pertama bukan stadium yang digunakan bagi upacara pembukaan temasya dwi tahunan itu.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, pemilihan SIC bertujuan menonjolkan imej Selangor sebagai negeri yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan pentadbiran, tetapi juga sebagai destinasi penganjuran sukan bertaraf dunia.
“Kita ingin menampilkan kelainan menerusi konsep pembukaan Sukma kali ini, berbanding pembukaan edisi-edisi terdahulu yang lazimnya diadakan di stadium.
“Konsep pembukaan juga akan lari daripada klise sebelum ini dan kita akan menawarkan pembukaan yang lebih menarik.
“Pemilihan SIC juga bertujuan menonjolkan imej Selangor sebagai antara destinasi penganjuran sukan bertaraf dunia,” katanya pada sidang media selepas Sesi Jalinan Media bersama Sekretariat Sukma dan Para Sukma Selangor 2026 di sebuah hotel di Shah Alam pada Khamis.
Mohd Najwan turut memaklumkan bahawa sebanyak 28 jenis sukan berprestij tinggi yang termaktub dalam peraturan Sukma akan diteruskan bagi edisi ke-22 yang dijadual berlangsung pada Ogos tahun hadapan.
Jelasnya, Majlis Sukan Negeri Selangor masih dalam perbincangan dengan Majlis Sukan Negeri-Negeri lain mengenai penambahan lima jenis sukan supaya melibatkan semua kontinjen negeri.
“Banyak perkara perlu dipertimbangkan dalam pemilihan lima sukan tambahan ini. Syaratnya, ia perlu diumumkan setahun sebelum tarikh penganjuran Sukma.
“Insya-ALLAH, sekiranya mendapat kata putus, ia akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh,” katanya.
Mengenai pemilihan lima sukan itu, Mohd Najwan menegaskan bahawa aspek keadilan akan diutamakan agar semua negeri dapat mengambil bahagian.
“Kita tidak mahu lima sukan tambahan ini hanya melibatkan sukan khusus yang tidak disertai oleh negeri lain.
“Yang paling mustahak, sukan yang dipertandingkan dalam Sukma ini mesti menjadi platform untuk mengenal pasti bakat terbaik tanpa mengira negeri, supaya bakat-bakat ini dapat digarap bagi mewakili negara,” ujarnya.