Selepas salam baru sedar rakaat tak cukup, apa perlu dilakukan?

Selepas salam baru sedar rakaat tak cukup, apa perlu dilakukan?


USAI menunaikan solat, tiba-tiba ada orang menegur bahawa sembahyang yang kita dirikan itu tidak cukup rakaat.

Barangkali situasi itu pernah dialami oleh sebahagian daripada kita.

Perkara itu tidak mustahil berlaku kerana kita hanyalah manusia biasa yang adakalanya terlupa akibat keletihan, fikiran melayang atau mungkin terlalu fikirkan sesuatu hingga terlalai dalam pengiraan rakaat.

Persoalannya, apakah yang perlu dilakukan sekiranya baru menyedari kekurangan itu selepas memberi salam?

Menurut pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, solat yang tidak cukup rakaat masih boleh disempurnakan selagi belum melakukan perkara yang membatalkan kesinambungan solat seperti bercakap panjang, makan atau minum.

USTAZ AZHAR IDRUS

“Bangun dan sambung rakaat yang tertinggal itu dengan segera. Tidak perlu ulang niat atau lafaz ‘aku niat sambung solat Zuhur kerana ditegur tadi’.

“Terus bangun dan baca al-Fatihah, rukuk, iktidal, sujud dua kali, kemudian tahiyat akhir, buat sujud sahwi dan baru beri salam,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun YouTube miliknya baru-baru ini.

Namun, beliau menegaskan, rakaat itu hanya boleh disambung jika salam baru sahaja diberikan.

Sekiranya sudah berlalu dalam tempoh yang panjang seperti selepas membaca wirid atau melakukan aktiviti lain misalnya makan, maka solat tersebut tidak boleh disambung lagi, sebaliknya perlu ditunaikan semula dari awal.

“Kalau seminggu kemudian baru tahu tak cukup rakaat, maka jangan buat satu rakaat sahaja. Tak boleh (begitu),” jelas beliau bersahaja.

Bagaimana pula jika ditegur orang lain, sedangkan kita yakin bilangan rakaat sudah mencukupi?

Menjawab pertanyaan itu, Ustaz Azhar menjelaskan, hukum asalnya adalah berdasarkan keyakinan diri sendiri.

Jika seseorang yakin bilangan rakaat solat didirikannya cukup, penceramah tersohor itu menjelaskan, tidak perlu lagi menambah atau mengulangi solat walaupun ditegur orang lain.

“Kita yakin kita buat dua rakaat solat Subuh. Isteri kata satu saja. Kita pula kata dua rakaat dan yakin, maka tak wajib ikut isteri,” ujar beliau.

SOLAT yang tidak cukup rakaat masih boleh disempurnakan selagi belum melakukan perkara yang membatalkan kesinambungan solat seperti bercakap panjang, makan atau minum. -Foto: CANVA

SOLAT yang tidak cukup rakaat masih boleh disempurnakan selagi belum melakukan perkara yang membatalkan kesinambungan solat seperti bercakap panjang, makan atau minum. -Foto: CANVA

Sebaliknya, jika teguran itu menimbulkan keraguan atau jika seseorang tidak pasti sama ada sudah cukup rakaat atau belum, maka wajib untuk menambah satu rakaat bagi menyempurnakan solatnya.

“Kalau kita kata ‘haa…’, itu tandanya kita tak pasti. Maka wajib tambah satu rakaat lagi,” katanya.

Namun begitu, beliau memberi peringatan bahawa perbuatan bercakap ketika dalam solat boleh membatalkan sembahyang.

Justeru, jika hanya sekadar menyebut satu atau dua patah perkataan tanpa sengaja, ia tidak membatalkan.

Bagaimanapun, jika kita bercakap dengan sengaja walaupun satu perkataan, maka solat terbatal.

“Kalau tengah solat, tiba-tiba anak ambil mainan yang kita sudah susun tadi, kita kata ‘haip’, maka batal solat kita walaupun hanya satu perkataan,” tegas beliau.

Bagi memastikan ketepatan teguran yang dibuat selepas solat, Ustaz Azhar menjelaskan konsep ‘mutawatir’ dalam hukum syarak.

JANGAN lupa untuk melakukan sujud sahwi selepas menyudahkan rakaat yang tertinggal sebelum salam. -Foto: CANVA

JANGAN lupa untuk melakukan sujud sahwi selepas menyudahkan rakaat yang tertinggal sebelum salam. -Foto: CANVA

Jika lima orang yang adil dan dipercayai menyatakan solat kita tidak cukup rakaat, maka ketika itu wajib menerima teguran tersebut.

“Sekurang-kurangnya terdapat himpunan lima orang yang adil dan bukan pelawak, barulah dikira mutawatir. Maksudnya, mustahil untuk mereka berbohong,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top