am@hmetro.com.my
Sepang: Empat suspek yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah tumpas menerusi dua operasi berasingan di daerah ini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Sepang menahan pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 27 hingga 39 tahun.
Katanya, suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan Sepang dan berhampiran.
“Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan berjumlah RM16,500 terdiri daripada 84.32 gram syabu,65 gram heroin,14 gram ketamin dan 97 gram(300 biji) eramin 5, “katanya pada sidang media di IPD Sepang hari ini.
Norhizam berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah.
Menurutnya, modus operandi suspek adalah menjadikan kereta sewa sebagai pengangkutan bagi menjalankan aktiviti pengedaran.
Katanya, suspek dipercayai mula aktif menjalankan aktiviti pengedaran sejak 2016 dan saring awal mendapati suami suspek positif dadah jenis amphetamine dan methaphetamine manakala isterinya negatif dadah
“Semakan rekod jenayah mendapati suspek lelaki ini mempunyai enam rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah serta satu kes orang dikehendaki membabitkan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen15 (1) (a) ADB 1952, Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (orang dikehendaki) dan
Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, “katanya.
Norhizam berkata, hasil soal siasat dijalankan ke atas pasangan suami isteri itu polis melakukan serbuan ke dua dan menahan dua lelaki Melayu berusia 35 hingga 39 tahun.
Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas dadah jenis syabu seberat 515 gram dianggarkan bernilai RM20,000 dan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah.
Katanya, saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methaphetamine.
“Semakan rekod jenayah mendapati salah seorang suspek mempunyai lapan rekod lampau atas kesalahan jenayah serta orang dikehendaki di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952, Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (orang dikehendaki) dan
Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil,” katanya.
Beliau menambah, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan seramai
3,877 orang penagih .
Katanya, suami wanita itu direman tujuh hari, isterinya lima hari manakala dua lelaki Melayu tujuh hari bermula Rabu lalu di Mahkamah Sepang dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd