BARU-BARU ini, negara digemparkan dengan penemuan gedung arak mewah di dalam kediaman seorang individu bergelar Tan Sri.
Simpanan bernilai jutaan ringgit itu ditemui bersama kemewahan luar biasa menimbulkan persoalan besar bagaimana bahan yang diharamkan dalam Islam terus dijadikan lambang prestij oleh segelintir golongan elit?
Lebih membimbangkan, dalam era moden yang semakin longgar nilai agama, bahan larangan itu sering dipromosikan atas nama ‘gaya hidup’.
Padahal Islam telah lama memberi amaran tegas terhadap bahaya arak, bukan sekadar pada kesihatan fizikal, tetapi terhadap moral, akidah dan kesejahteraan masyarakat.
Arak menurut perspektif al-Quran
Jika diteliti, larangan terhadap arak dalam Islam berlaku secara berperingkat. Pada mulanya ALLAH SWT menyatakan bahawa wujud ‘beberapa manfaat’, namun mudaratnya jauh mengatasi kelebihan tersebut.
MINUMAN yang memabukkan bukan sahaja dilarang, tetapi turut meletakkan arak setaraf dengan kekotoran syaitan iaitu satu bentuk jenayah spiritual yang memusnahkan fitrah manusia. -Foto: CANVA
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Mereka bertanyakan kepadamu (Muhammad) tentang khamar dan judi. Katakanlah, ‘Pada kedua-duanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya’.” (Surah al-Baqarah: 219)
Ayat itu membentuk kesedaran awal dalam kalangan umat Islam.
Kemudiannya, larangan menjadi lebih tegas apabila umat Islam ditegah mendekati solat dalam keadaan mabuk menerusi ayat ke-43, surah an-Nisa’.
Akhirnya, ketetapan penuh diisytiharkan menerusi firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan undi nasib adalah najis daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah ia agar kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90-91)
Melihat nas itu, jelas bahawa minuman yang memabukkan itu bukan sahaja dilarang, tetapi turut meletakkan arak setaraf dengan kekotoran syaitan iaitu satu bentuk jenayah spiritual yang memusnahkan fitrah manusia.
Realiti dan ironi
Ironinya dalam sebuah negara yang majoritinya Muslim, arak tetap mudah diakses, malah dipamerkan sebagai lambang kekayaan.
Lebih mendukacitakan apabila ia disimpan dengan rapi seolah-olah bahan eksklusif, dihargai seperti barang kemas, sedangkan di sisi agama, ia ialah najis yang merosakkan akal dan jiwa.
MINUMAN keras bukan sekadar merosakkan individu, tetapi menjadi punca keruntuhan keluarga, kerosakan masyarakat, jenayah dan kemalangan jalan raya. -Foto: CANVA
Rasulullah SAW bersabda: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram. Sesiapa yang meminum arak di dunia lalu mati dalam keadaan masih meminumnya, dia tidak akan meminumnya di akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Lihat betapa besar azab yang dijanjikan bagi mereka yang terus bergelumang dengan arak. Minuman keras itu tidak sekadar merosakkan individu, tetapi menjadi punca keruntuhan keluarga, kerosakan masyarakat, jenayah dan kemalangan jalan raya.
Justeru, masyarakat tidak boleh lagi memandang ringan terhadap isu itu. Mahu atau tidak, kita perlu kembali kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah.
Benar, penguatkuasaan undang-undang sangat penting, tetapi paling utama ialah kesedaran dalam sanubari umat.
Kita tidak mahu generasi akan datang melihat arak sebagai kebiasaan, apatah lagi sebagai simbol kejayaan.
Pihak berkuasa perlu bertindak tegas dan telus. Mereka yang bersekongkol dengan pengedaran, penyimpanan arak secara haram atau penghasilan barang larangan itu secara tidak sah perlu dikenakan hukuman setimpal tanpa mengira status atau darjat.
JAUHI diri daripada meminum minuman yang dilarang dalam Islam bagi mengelak kemudaratan lebih besar pada kemudian hari. -Foto: CANVA
Akhirnya, mari kita renungkan sabda Rasulullah SAW: “ALLAH melaknat arak, orang yang meminumnya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang membelinya, yang memerahnya, yang minta diperahkan, yang membawanya dan yang minta dihantar kepadanya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Laknat itu menyeluruh dengan menunjukkan betapa seriusnya Islam dalam membanteras bahaya arak. Impaknya bukan sahaja dirasai oleh peminumnya sahaja, tetapi juga individu yang membawa dan menuangkannya turut terpalit sama.
Sesungguhnya, arak bukan sekadar isu hukum, ia juga membabitkan bab akidah, sosial dan isu negara. Jangan sampai kita menjadi masyarakat yang celik ekonomi tetapi buta hati.
Usah kita megah dengan gudang arak sedangkan kita miskin dalam iman.
Ingatlah, dalam Islam, kemewahan sebenar bukan terletak pada rak arak berjuta, tetapi pada hati yang takutkan Tuhan dan lidah yang basah dengan zikrullah.
*Artikel ditulis oleh Ustaz Kamarul Azuan Shah Mohd Mashuti, Guru bidang al-Quran dan bahasa, Sekolah Menengah Tahfiz Darul