Malaysia tumpas 1-2 kepada Wales di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil sebentar tadi.
IMPIAN Malaysia untuk meraih sekurang-kurangnya tempat kelima Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2025 tidak kesampaian setelah tumpas 1-2 kepada Wales di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil sebentar tadi.
Skuad Speedy Tigers yang menyasarkan saingan separuh akhir bagi kejohanan edisi ketiga itu terpaksa berpuas hati untuk bersaing merebut tempat kelima dan enam.
Pencapaian tempat keenam itu bagaimanapun membaiki kedudukan edisi 2023/24 apabila pasukan negara meraih kedudukan ketujuh dan di tangga keempat pada tahun 2022.
Dalam aksi itu, Syed Syafiq Syed Cholan meledak gol pembukaan skuad Speedy Tigers menerusi Pukulan Sudut Penalti (PC) pada minit ke-20.
Kem Malaysia turut berdepan detik cemas apabila permainan pada suku ketiga dihentikan seketika bagi memberi rawatan awal kepada Faiz Helmi Jali yang mengalami kecederaan.
Pemain pertahanan itu kemudian terpaksa diusung keluar susulan kecederaan di bahagian bahu akibat terkena bola ketika bertahan daripada PC Wales.
Jurulatih negara, Sarjit Singh memberitahu, kecederaan pemain itu tidak serius dan kembali ke padang beberapa minit kemudian.
“Saya bertanya sama ada mahu meneruskan permainan atau sebaliknya, namun dia berasa okey dan kembali beraksi,” katanya.
Pasukan lawan kemudian menyamakan kedudukan menerusi Jack Pritchard menerusi PC pada minit ke-42.
Berselang lapan minit, Wales menggandakan jaringan menerusi Gareth Furlong sekali lagi menerusi PC.
Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan, namun jaringan padang Mohamad Faris Harizan dibatalkan kerana terkena kaki Fitri Saari.
Terdahulu dalam aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan, Jepun berjaya mengelak daripada tangga tercorot apabila mengalahkan Afrika Selatan 2-1.
Bagi penentuan tempat ketiga dan keempat pula bakal menyaksikan pertemuan Perancis dan Korea Selatan pada jam 6.30 petang, diikuti aksi final yang menemukan Pakistan dan New Zealand pada jam 9 malam.
Juara kejohanan tersebut layak beraksi dalam Liga Profesional 2025/26 yang sebelum ini dikenali sebagai Liga Hoki Dunia.