Impian besar Wirtz di Anfield

Impian besar Wirtz di Anfield


Wirtz. Foto FB Liverpool FC

TONGGAK baharu Liverpool, Florian Wirtz memasang impian besar untuk melakar lebih banyak kejayaan buat The Reds dalam saingan di pentas domestik dan Eropah.

Pemain berusia 22 tahun itu melengkapkan perpindahan mega pemain dari Bayer Leverkusen awal pagi Sabtu dalam satu perjanjian yang dilaporkan boleh menjadi perpindahan paling mahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Akhirnya, kami mahu berjaya. Musim lalu mereka menjuarai Liga Perdana, jadi sasaran saya sudah tentu mahu memenanginya lagi dan juga pergi lebih jauh dalam Liga Juara-Juara. Saya bercita-cita besar,” katanya.

Laporan di England menyebut, juara EPL itu membayar 100 juta pound (RM572 juta) sebagai bayaran permulaan bagi mendapatkan khidmat Wirtz, sekali gus melepasi rekod perbelanjaan terdahulu mereka.

Tambahan 16 juta pound (RM91.5 juta) berdasarkan prestasi akan menjadikannya perpindahan rekod dalam bola sepak Britain.

Namun, laporan di Jerman menyatakan yuran sebenar mungkin lebih tinggi, bermula dengan 130 juta euro (RM637 juta) dan boleh meningkat kepada 150 juta euro (RM735 juta) dengan tambahan lain.

“Saya amat teruja untuk memulakan satu perjalanan baharu. Ini adalah antara faktor utama dalam keputusan saya.

“Saya mahu sesuatu yang benar-benar baharu, untuk keluar dari Bundesliga dan menyertai Liga Perdana,” kata Wirtz.

Salah seorang bintang muda elit bola sepak Eropah, Wirtz pernah dipuji sebagai antara yang ‘terbaik di dunia’ oleh bekas jurulatih Leverkusen dan juga bekas pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso, yang kini menjadi pengurus Real Madrid.

Wirtz memainkan peranan penting ketika musim terbaik dalam sejarah Leverkusen, apabila mereka memenangi kejuaraan Bundesliga buat kali pertama dan Piala Jerman 2023/24, tanpa kalah satu perlawanan domestik di bawah kendalian Alonso.



Source link

OR

Scroll to Top