Peserta muda berusia 7 hingga 16 tahun yang memenuhi Stadium MPAJ bergambar bersama Zainal Abidin dan Hasrolnizam – Foto MPAJ
AMPANG – Ratusan peserta muda berusia 7 hingga 16 tahun memenuhi Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi menyertai Klinik Bola Sepak WRA bersama legenda bola sepak tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan pada Sabtu.
Program anjuran bersama MPAJ ini bukan sekadar sesi latihan biasa, malah menjadi platform pendedahan awal kepada asas sukan bola sepak kepada golongan belia dan kanak-kanak setempat.
Zainal Abidin dalam sesi motivasinya turut berkongsi pengalaman manisnya bersama skuad kebangsaan, sambil memberi tunjuk ajar teknik asas permainan kepada peserta secara langsung di padang.
“Klinik seperti ini sangat penting dalam membina disiplin, semangat berpasukan dan kecintaan terhadap sukan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Hasrolnizam Shaari, dan Pengarah Jabatan Belia, Masyarakat dan Landskap MPAJ, Mohamad Yusuf Sulaiman yang menyatakan sokongan padu terhadap usaha memupuk minat sukan sejak usia muda
MPAJ dalam kenyataan memaklumkan, klinik ini diadakan secara percuma, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk penaja dan sukarelawan yang menjayakan program berimpak tinggi ini.
MPAJ turut menyasarkan lebih banyak inisiatif seumpama ini dilaksanakan secara berkala sebagai sebahagian usaha menjadikan kawasan pentadbiran mereka sebagai bandar digital berdaya huni dan paling bahagia, selari dengan tema sambutan 32 Tahun MPAJ.