amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bukan semata-mata soal harga, sebaliknya faktor permintaan pelanggan dan ketahanan telur menjadi antara sebab utama peniaga lebih gemar menjual telur ayam gred B dan C berbanding gred A atau gred lebih tinggi.
Tinjauan Harian Metro susulan laporan mengenai ketidakseimbangan bekalan telur mendapati ada premis jualan borong dan runcit sekitar ibu negara hanya menyimpan stok telur gred B dan C kerana ia lebih mudah laris, tahan lama dan tidak mudah rosak.
Kakitangan premis pemborong di Lorong Haji Hussein, di sini, Nor Salimah Salman, 21, berkata, pihaknya hanya menyimpan tiga jenis telur iaitu gred B, C dan D kerana permintaan terhadap gred itu jauh lebih tinggi.
“Telur gred A memang kami sudah tak ambil langsung sebab selain kurang permintaan, kami turut terima aduan ia juga cepat rosak. Apabila simpan lama sedikit, kuning telurnya jadi berair dan bila goreng, dia boleh merecik-recik.
“Pelanggan lebih suka gred B dan C kerana saiznya sederhana, tidak mahal dan tahan lama. Setakat ini bekalan berjalan lancar setiap hari, jadi kami biasanya kekalkan stok gred itu saja,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Ditanya kesan subsidi telur akan ditarik sepenuhnya mulai Ogos depan, katanya, buat masa ini pihaknya mengekalkan harga dan sebarang perubahan harga akan datang akan ditentukan kemudian.
Sementara itu, peniaga runcit di Pasar Jalan Raja Bot, Hairi Ismail, 42, turut memberitahu dia hanya menjual telur gred B dan C kerana dua gred itu paling tinggi permintaan dalam kalangan pelanggan biasa serta pengusaha kedai makan.
“Gred B dan C senang dapat dan stoknya jalan cepat. Kalau gred A pula, kadang-kadang susah dapat dan harganya mahal sedikit.
“Biasanya peniaga makanan macam kedai kuetiau, char kuetiau atau nasi goreng memang guna gred C dan D saja. Macam kakak saya sendiri pun jual kuetiau, dia pakai telur gred E,” katanya.
Menurut Hairi, harga telur gred B yang dibelinya baru-baru ini sudah naik daripada RM9.80 kepada RM10.80 sepapan dan dijangka terus meningkat sedikit demi sedikit menjelang Ogos.
“Kita peniaga ikut saja harga daripada pemborong. Bila subsidi habis nanti, logiknya memang akan naik lagi. Itu yang kita tunggu dan bersedia sajalah,” katanya.
Berdasarkan tinjauan, terdapat perbezaan harga jika dibandingkan ketika awal Mei lalu.
Telur Gred AA kini dijual pada harga RM13.80 (naik daripada RM13.20), Gred B pada RM10.80 (naik daripada RM9.30), dan Gred C pada RM9.90 (naik daripada RM9).
Sementara itu, telur Gred A kini lebih murah pada harga RM12 (turun daripada RM12.30), Gred D pada RM7.80 (turun daripada RM8.10), dan Gred E pada RM6.60 (turun daripada RM7.50).
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan subsidi telur ayam dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji bermula 1 Mei lalu dan akan ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.
KPKM berkata, keputusan itu dibuat selepas pengeluar memberi jaminan bekalan telur mencukupi dan kos pengeluaran kini dikatakan sudah stabil.
© New Straits Times Press (M) Bhd