KDN FC peruntuk RM6 juta, lengkapkan pemain import sebelum 1 Julai

KDN FC peruntuk RM6 juta, lengkapkan pemain import sebelum 1 Julai


KELANTAN Darul Naim FC (KDN FC) memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025–2026, merangkumi kos operasi pasukan termasuk gaji pemain import, keperluan teknikal serta aspek pengurusan kelab.

Ketua Pegawai Eksekutif KDN FC, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah, berkata, jumlah itu merupakan had maksimum perbelanjaan kelab dan akan digunakan secara menyeluruh tanpa melebihi siling yang ditetapkan.

“Kita tak boleh lebih RM6 juta. Itu termasuk semua iaitu gaji pemain import, kos latihan, beli peralatan, elektrik atau fotostat, semua sekali.

“Tak boleh lebih walau lima sen pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi pertemuan bersama wakil kelab penyokong KDN FC di sebuah kafe di Jalan Pengkalan Chepa, di sini pada Jumaat.

Pertemuan itu dijadikan ruang soal jawab terbuka bersama penyokong mengenai hala tuju dan cabaran kelab menjelang musim baharu.

Menurut Irwan Rizal, pasukan ketika ini sedang melengkapkan barisan akhir pemain import, termasuk beberapa nama dari negara seperti Nigeria dan Bulgaria, yang dijangka tiba di Kota Bharu pada 25 atau 26 Jun ini bagi menjalani pemeriksaan kesihatan serta sesi penilaian teknikal.

Antara pemain import yang sudah diberikan surat tawaran ialah bekas penyerang PDRM FC, Ifedayo Olusegun dari Nigeria, manakala dua jurulatih yang terlibat ialah E. Elavarasan bersama Muammer Salibasic dari Bosnia dan Herzegovina.

“Kami tapis betul-betul ikut kemampuan dan keperluan pasukan. Gabungan ini termasuk pemain lama musim lalu serta muka baharu dari luar dan dalam negeri.

“Mereka diberikan surat tawaran dan kontrak, tetapi untuk jawapan sama ada mereka bakal bersama KDN FC atau tidak, kena tunggu dan tanya tuan badan sendiri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sesi latihan rasmi pasukan akan bermula pada 1 Julai ini, selepas semua pemain import melapor diri dan selesai menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Irwan Rizal memaklumkan bahawa proses penjenamaan semula kelab turut dalam perancangan, melibatkan perubahan logo dan slogan rasmi pasukan, namun masih menunggu maklum balas daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum diumumkan secara rasmi.

“Setakat hari ini, nama dan identiti masih kekal Kelantan Darul Naim FC. Kami dah kemuka cadangan, tapi tak mahu mendahului.

“Apabila semuanya selesai dan diluluskan, kami akan umum,” katanya.

Tambah beliau, slogan popular “Gomo Kelate Gomo” akan terus dikekalkan sebagai semangat simbolik penyokong Kelantan.



Source link

OR

Scroll to Top