Atlet tidak perlu takut – Karim

Atlet tidak perlu takut – Karim


PRESIDEN Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim menasihatkan atlet agar tidak dibelenggu rasa takut dalam menghadapi sebarang kemelut atau isu yang melanda skuad olahraga.

Beliau komited untuk menyokong atlet yang disifatkannya sebagai nadi utama kemajuan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Jangan biarkan diri dibelenggu ketakutan. Saya ingin tegaskan akan terus mempertahankan atlet dan tidak sekali-kali mengetepikan mereka,” katanya.

Tegas beliau, adalah tidak wajar sekiranya mana-mana atlet dipinggirkan kerana isu luar yang berpotensi menjejaskan tumpuan mereka.

Kem olahraga negara tidak pernah lekang daripada kontroversi dan isu boikot latihan dikendalikan Pengarah Teknikal MA, Robert Ballard antara yang mendapat perhatian media tahun ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa atlet pecut memboikot program latihan oleh Ballard dan menerima ugutan dibuang daripada program sekiranya mereka meluahkan ketidakpuasan hati mengenai cara pengurusan warga Australia itu.

Karim turut menyatakan komitmen untuk memberikan lebih banyak pendedahan kepada atlet olahraga dalam usaha membantu mereka mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Mengenai sasaran Sukan SEA 2025 di Thailand, Karim berkata, MA akan berusaha memastikan atlet dapat melepasi kutipan lima pingat emas diraih ketika Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Bagaimanapun, tambahnya, MA perlu meneliti statistik pencabar dari Asia Tenggara terlebih dahulu sebelum memaklumkan sasaran pingat pada edisi di Thailand, hujung tahun ini.

Sukan SEA 2025 dijadualkan berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Disember. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top