Sebahagian penyokong Boca Juniors yang memenuhi Stadium Hard Rock kapasiti hampir 66,000 penonton semasa aksi peringkat kumpulan Piala Kelab Dunia menentang Bayern Munich. Foto Agensi
KEMERIAHAN yang dibawa oleh penyokong Amerika Selatan, terutamanya kelab gergasi Argentina, Boca Juniors, telah mencetuskan suasana meriah sepanjang Kejohanan Piala Dunia Kelab yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat.
Namun begitu, sambutan suam-suam kuku daripada penonton tempatan masih menjadi cabaran buat penganjur temasya sulung yang melibatkan sebanyak 32 kelab berprestasi tinggi bola sepak dunia.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menaruh harapan tinggi agar edisi baharu Piala Dunia Kelab yang diperluas dengan penyertaan kelab-kelab elit dunia ini dapat menyemarakkan semangat bola sepak dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat, menjelang kejohanan Piala Dunia 2026 yang akan dianjurkan bersama Kanada dan Mexico.
Walaupun lebih 1.5 juta tiket telah terjual dalam tempoh beberapa hari selepas kejohanan bermula, perbezaan ketara dapat dilihat antara bandar tuan rumah yang berjaya menarik kehadiran ramai dan yang masih bergelut dengan kerusi kosong.
Stadium Hard Rock, yang mempunyai kapasiti hampir 66,000 dan terkenal sebagai gelanggang enam kali tuan rumah Super Bowl, kini bertukar wajah menjadi ‘Bombonera’ baharu, panggilan untuk stadium keramat Boca Juniors, hasil sorakan padu penyokong kelab Amerika Selatan berkenaan.
Dalam hanya dua perlawanan, kehadiran Boca Juniors telah menggegarkan stadium itu, menentang Benfica menyaksikan 55,574 penonton hadir, manakala aksi menentang Bayern Munich mencatatkan jumlah kehadiran mencecah 63,587 orang, majoritinya penyokong Boca.
“Saya telah lalui pelbagai detik dalam kerjaya panjang saya, dan malam ini saya sendiri teringin untuk menjadi pemain.
“Penyokong Boca Juniors sungguh istimewa. Suasana di stadium sangat ‘garang’ dalam erti kata positif inilah yang saya suka tentang bola sepak.
“Ramai yang sanggup membayar hanya untuk menyaksikan suasana seperti itu,” kata pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany, selepas berdepan Boca.