Fluminense sertai tiga lagi wakil Brazil ke pusingan 16

Fluminense sertai tiga lagi wakil Brazil ke pusingan 16


Miami: Fluminense melengkapkan kemaraan pasukan Brazil di pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab selepas seri tanpa jaringan menentang Mamelodi Sundowns, awal pagi tadi.

Walaupun berada dalam tekanan hampir sebahagian besar perlawanan di Stadium Hard Rock, Miami, Fluminense layak selepas menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan F dengan lima mata, dua di belakang pendahulu kumpulan Borussia Dortmund yang menang tipis 1-0 ke atas Ulsan HD.

Keputusan itu menyaksikan Fluminense bakal bertemu sama ada River Plate, Inter Milan atau Monterrey dalam perlawanan pusingan 16 terbaik pada awal pagi Selasa di Charlotte.

Mereka kini menyertai tiga lagi kelab Brazil Flamengo, Palmeiras dan Botafogo dalam fasa kalah mati kejohanan yang melibatkan 32 kelab ini.

Sundowns yang menamatkan saingan di tempat ketiga dengan empat mata, pasti kecewa dengan peluang yang terlepas selepas permulaan yang memberangsangkan.

Lucas Ribeiro dan Tashreeq Matthews hampir membuka jaringan pada awal perlawanan, namun dinafikan oleh penjaga gol veteran berusia 44 tahun, Fabio.

Pasukan dari Afrika Selatan itu menguasai penguasaan bola dan melancarkan serangan bertubi-tubi dari bahagian sayap, namun gagal memanfaatkan kelebihan itu untuk menjaringkan gol.

Fluminense mula menunjukkan lebih kesungguhan selepas setengah jam perlwanan dan hampir memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-57 apabila voli rendah oleh German Cano terkena tiang.

Walaupun stadium berkapasiti lebih 65,000 itu kelihatan kosong dengan hanya 14,312 penyokong hadir, gabungan sorakan Brazil dan dentuman dram dari penyokong Afrika Selatan menyuntik suasana meriah dalam perlawanan tersebut.

Flamengo yang turut seri selepas terikat 1-1 dengan Los Angeles FC pada perlawanan terakhir Kumpulan D semalam tetap mara ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan.

Denis Bouanga meletakkan kelab Major League Soccer itu di depan pada minit ke-84 tetapi pemain gantian, Wallace Yan menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Sebagai juara kumpulan, Flamengo akan bertemu naib juara Kumpulan C, Bayern Munich pada pusingan 16 akhir di Miami pada awal pagi Isnin.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top