Pasukan Sri Pahang FC yang akhirnya secara rasmi mengundurkan diri dari saingan Liga Malaysia musim 2025/2026 – Foto: FB Sri Pahang FC
SRI Pahang FC mengumumkan penarikan diri daripada saingan Liga Super musim 2025/26 bagi memberi ruang memperkukuhkan struktur dalaman kelab demi masa depan yang lebih cerah.
Keputusan tersebut diumumkan secara rasmi hari ini menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kelab berkenaan di laman Facebook rasmi Sri Pahang FC pada Khamis.
“Sri Pahang FC berharap akan diberi peluang untuk menyertai pembangunan bola sepak di negeri Pahang pada masa akan datang.
“Sehubungan itu, pihak Sri Pahang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, pihak berkuasa, penaja, penyokong dan pengikut Sri Pahang FC. Semoga kita berjumpa lagi pada musim hadapan,” menurut kenyataan itu.
Langkah ini dilihat sebagai satu keputusan berani demi kebaikan jangka panjang kelab yang pernah menjadi antara pencabar utama dalam Liga Malaysia.

Kenangan ketika aksi final Piala Malaysia, pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turun ke padang bertemu peminat pasukan tersebut – Foto: FB Sri Pahang FC
Terdahulu, skuad Tok Gajah sah tidak akan menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini walaupun telah diberikan Lesen Kebangsaan oleh First Instance Body (FIB).
Menurut kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Sri Pahang telah menghantar surat pengesahan bertarikh 16 Jun lalu bagi memaklumkan keputusan menarik diri daripada menyertai sebarang pertandingan musim ini.
Dalam pada itu, MFL memaklumkan bahawa penarikan diri Sri Pahang menyaksikan saingan Liga Malaysia yang akan bermula pada 8 Ogos ini hanya akan disertai oleh 13 kelab sahaja.