Liverpool terus konsisten berbelanja besar

Liverpool terus konsisten berbelanja besar


Kerkez rekrut terbaharu Liverpool. Foto Agensi

PENYANDANG juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool terus mengukuhkan skuad dengan perbelanjaan musim panas mencecah kira-kira £170 juta pound, susulan kejayaan mendapatkan khidmat pertahanan kiri, Milos Kerkez bernilai £40 juta dari Bournemouth.

Pemain Hungary berusia 21 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun bersama Reds,merupakan pemain utama ketiga Liverpool pada jendela perpindahan kali ini, menyusuli ketibaan pemain tengah serangan Florian Wirtz dan pertahanan kanan Jeremie Frimpong, kedua-duanya dari Bayer Leverkusen.

Liverpool sebelum ini telah membelanjakan rekod kelab £116 juta, terdiri daripada bayaran awal £100 juta dan tambahan potensi £16 juta, untuk mendapatkan Wirtz dari Jerman, serta £29.5 juta untuk Frimpong dari Belanda.

Penjaga gol bawah 21 tahun Hungary, Armin Pecsi, turut tiba di Anfield dengan yuran sehingga £1.5 juta.

“Ini satu penghormatan besar bagi saya, satu keistimewaan untuk datang bermain bagi salah satu kelab terbesar di dunia, kelab terbesar di England. Saya sungguh, sungguh gembira dan teruja.

“Selepas ini, saya akan pulang ke kampung halaman dan menikmati beberapa hari, kemudian saya tidak sabar untuk kembali dan menyarung pakaian latihan serta mula berlatih dan bersedia untuk musim baharu,” kata Kerkez.

Reds bimbingan Arne Slot juga dijangka akan menandatangani penjaga gol Georgia, Giorgi Mamardashvili, setelah bersetuju untuk mendapatkan khidmatnya dari Valencia dengan yuran £25 juta serta tambahan £4 juta pada musim panas lalu.

 



Source link

OR

Scroll to Top