Iktiraf doktor bangunan

Iktiraf doktor bangunan


nurul_husna@hmetro.com.my

Di sektor awam, keperluan pelaksanaan penilaian aset bangunan meningkat secara mendadak iaitu dari 1,771 premis pada 2020 kepada 11,520 premis pada 2021.

Seterusnya, peningkatan berlaku secara beransur-ansur pada tahun berikutnya iaitu 12,020 premis pada 2022, 12,520 premis pada 2023, kepada 13,020 premis pada 2024.

Jangkaan akan datang untuk keperluan pelaksanaan penilaian aset bangunan adalah meningkat sebanyak 10 peratus menjelang 2030.

Statistik ini sekali lagi mempamerkan kepentingan profesion juruukur bangunan sekali gus menunjukkan keperluan menggubal akta juruukur bagi memastikan kredibiliti dan kepentingan pihak berkaitan dilindungi.

Menurut Ketua Jabatan Ukur Bangunan, Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Sr. Dr Au Yong Cheong Peng, dalam kepesatan industri hartanah yang semakin berkembang, sewajarnya ada satu akta khusus digubal untuk mentakrifkan dan mengawal selia profesion juruukur bangunan seperti profesion lain di sektor pembinaan.

“Namun, perkara ini sedang diusahakan badan profesional, iaitu Bahagian Ukur Bangunan di bawah Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) supaya selaras dengan saranan kerajaan.

“Sebagai contoh, Garis Panduan Penyediaan Cadangan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan Tahun 2025 menyatakan bahawa pelaksanaan penilaian aset bangunan adalah wajib dalam proses permohonan peruntukan peralatan, kelengkapan dan kerja penyenggaraan bangunan.

“Klausa berkenaan menunjukkan kepentingan profesion juruukur bangunan dalam pemeliharaan keadaan bangunan. Hasil penilaian aset bangunan boleh memastikan perancangan program dan kos penyenggaraan yang tepat,” katanya.

Tambah beliau, skop tugas juruukur bangunan bukan sahaja memastikan kerja pembinaan mematuhi undang-undang dan piawaian berkaitan, malah meningkatkan kualiti dan memanjangkan jangka hayat bangunan.

“Berdasarkan data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada 2024, stok hartanah merekodkan lebih daripada 7.5 juta unit pada tahun 2023 termasuk 6.2 juta unit hartanah kediaman.

“Selain itu, terdapat juga 564,800 unit kedai, 370,010 unit pangsapuri servis, 556 pusat beli-belah, 274 pasar raya besar, 244 arked, 2,601 bangunan pejabat, 121,374 unit hartanah perindustrian dan 275,119 bilik hartanah hotel.

“Perkembangan hartanah cukup baik itu dijangka memberi impak positif kepada pelaksanaan penilaian aset bangunan yang bakal meningkat kepada semasa ke semasa.menjelang 2030.

“Perkhidmatan juruukur bangunan yang juga mendapat manfaat kerana peranan profesion itu diumpamakan sebagai ‘doktor bangunan.’

“Seperti mana manusia yang perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan setiap tahun, bangunan juga akan mengalami kemerosotan dan perlu diperiksa secara berkala,” katanya.

Tetapi, peranan atau kredibiliti juruukur bangunan tanpa akta khas yang menjadi panduan untuk industri pembinaan dan hartanah menyebabkan kerja-kerja penilaian aset bangunan itu dilihat tidak begitu penting dan tidak diperlukan.

Malah, keresahan Dr Au Yong ialah kemungkinan wujudnya elemen tidak sihat dalam industri hartanah membabitkan kredibiliti juruukur bangunan sekiranya tiada akta berkaitan digubal.

“Usaha untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan peranan juruukur bangunan adalah tanggungjawab bersama kerajaan, industri dan masyarakat.

“Buat masa ini, Bahagian Ukur Bangunan, RISM sedang berusaha untuk mendapat pengiktirafan profesion juruukur bangunan di bawah Lembaga Jurutera Malaysia.

“Secara dasarnya, perakuan terhadap profesion juruukur bangunan adalah positif dari pihak berkepentingan. Dengan wujudnya pengiktirafan profesion juruukur bangunan, orang ramai akan menyedari kepentingan profesion.

“Di pasaran, terdapat juga sekelompok pengamal yang tidak mempunyai kelayakan profesional juruukur bangunan sedang memberi khidmat ukur bangunan pada kadar yuran yang sangat rendah.

“Disebabkan ketiadaan Akta Juruukur Bangunan, tiada tindakan boleh diambil terhadap kesalahan golongan itu yang akhirnya menjejaskan pandangan orang ramai terhadap servis atau perkhidmatan juruukur bangunan profesional,” katanya.

Berdasarkan maklumat dari RISM, ahli penuh di Bahagian Ukur Bangunan melebihi 300 orang.

Manakala, jumlah ahli termasuk pelajar, percubaan dan graduan mencecah bilangan melebihi 1,500 orang.

Bilangan itu menunjukkan perlunya ada akta yang berkaitan untuk mengawal selia profesion terbabit.

Setelah akta berjaya digubal, bilangan Juruukur Bangunan bertauliah dijangka meningkat lagi untuk menampung keperluan sektor pembinaan.

INFO

Objektif penggubalan akta juruukur bangunan ialah untuk:

  • Memberi pengiktirafan profesional kepada juruukur bangunan.

  • Mengawal kelayakan, pendaftaran dan amalan profesional.

  • Menguatkuasakan peraturan etika dan standard kerja.

  • Memantapkan peranan profesional di dalam sektor pembinaan.

    © New Straits Times Press (M) Bhd



    Source link

  • OR

    Scroll to Top