34 mayat ditemukan dalam kubur besar

34 mayat ditemukan dalam kubur besar


Guadalajara: Pihak berkuasa Mexico menemukan 34 mayat dalam satu kubur besar di kawasan barat negara itu yang terkenal dengan keganasan jenayah, menurut pejabat pendakwa negeri Jalisco.

Mayat berkenaan ditemukan ketika kerja pembinaan dijalankan di Zapopan, yang terletak dalam negeri Jalisco, lokasi kubu kuat salah satu kartel dadah paling berkuasa di negara itu, kata Pendakwa Negeri Salvador Gonzalez dalam sidang media.

Menurutnya, usaha pencarian dilakukan sejak penemuan awal pada Februari lalu, membabitkan penggunaan radar pengesan bawah tanah serta anjing pengesan mayat.

“Penjenayah di negara ini sering menanam mangsa mereka dalam kubur tidak bertanda atau membakar sepenuhnya bagi menghapuskan bukti,” katanya.

Jalisco antara negeri paling terkesan dalam krisis kehilangan individu di Mexico, dengan lebih 127,000 orang dilaporkan hilang sehingga kini.

Negeri itu juga dikenali sebagai pusat operasi Kartel Jalisco Generasi Baharu (CJNG), kumpulan penyeludup dadah yang pernah diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Sejak 2006, keganasan berkaitan jenayah sudah meragut sekitar 480,000 nyawa di seluruh Mexico, menjadikan negara itu antara yang paling bergolak kejadian ganas di Amerika Latin.

Ratusan kubur besar turut ditemukan di seluruh negara, termasuk di Bartolina dalam negeri Tamaulipas, di mana sebanyak 500 kilogram (kg) sisa mayat manusia digali antara 2017 hingga 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top