Guan Eng pula ikut telunjuk siapa? – Atiqah

Guan Eng pula ikut telunjuk siapa? – Atiqah


KUALA LUMPUR – Ingatan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng terhadap Fadhlina Sidek berhubung isu kutipan dana pendidikan Cina mengundang reaksi keras Setiausaha Politik Menteri Pendidikan tersebut.

Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, Ahli Parlimen Bagan bukan sahaja tidak sependapat dengan Menteri Pendidikan tetapi juga keputusan Kabinet.

“Pemimpin Pas juga sudah tidak lagi bersuara berkenaan isu ini kerana jelas mereka juga akur dengan garis panduan yang sama ketika pemerintahan 33 bulan. Mengata dulang paku serpih, mengata orang mereka pun terlondeh.

“Rakan sepasukan parti Yang Berhormat Bagan juga telah membangkitkan isu khusus ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan diputuskan bersama.

“Bahkan setelah kenyataan media dibuat, mengapa beliau masih lagi menari dalam naratif yang didendangkan oleh pasukan pembangkang? Jika YB Fadhlina dikira mengikut telunjuk Pas, YB Lim Guan Eng ikut telunjuk siapa?” soalnya dalam kenyataan.

Atiqah Syairah mempersoalkan, sama ada Guan Eng tidak mempunyai ruang untuk mengemukaan usul dan cadangan penambahbaikan yang boleh disalurkan secara berpusat.

“Contohnya seperti Pelan Reformasi Pendanaan Pendidikan yang melibatkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan. Ini adalah masa terbaik kerana DAP mempunyai timbalan menteri kedua-duanya dari parti yang sama.

“Sebagai seorang ahli Dewan Rakyat yang berkhidmat hampir empat dekad di dalam Parlimen serta pengalaman di negeri dan persekutuan, pastinya beliau mahir dengan mengurus krisis dan tampil sebagai negarawan untuk tidak bermain dengan isu yang menyumbang kepada ketegangan kaum dan agama,” katanya.

Beliau menegaskan, pihak Menteri Pendidikan komited memastikan agenda pembangunan pendidikan negara mencapai matlamat aspirasi negara.

Aspirasi tersebut hanya akan dapat dilaksanakan jika setiap pemegang taruh terlibat dengan aktif dalam memberikan solusi tuntas dan membangun.

Media melaporkan, Guan Eng mengingatkan Fadhlina supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dan menegaskan dia bukan “menteri pendidikan Pas”.

“Komen Fadhlina sebelum ini mengenai acara kutipan dana pendidikan Cina agak keras. Saya harap dia akan mempertimbangkan semula pendiriannya itu.

“Beliau bukan menteri pendidikan Pas, beliau mewakili Pakatan Harapan, Kerajaan Perpaduan dan seluruh negara,” kata Lim, yang juga Adun Ayer Itam pada sidang media di pusat khidmatnya hari ini.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top