SUHU melampau yang melanda temasya Piala Kelab Dunia tahun ini membangkitkan kebimbangan serius terhadap jadual waktu sepak mula Piala Dunia 2026 pada sebelah petang.
Ini apabila kerana dijangka edisi temasya yang diperluaskan itu kepada 48 pasukan menimbulkan pelbagai cabaran logistik kepada penganjur.
Gelombang haba yang melanda Amerika Syarikat menyaksikan pemain Borussia Dortmund berdepan Ulsan dari Korea Selatan di Cincinnati, dengan suhu melebihi 32.2°Celcius semasa sepak mula jam 3 petang waktu tempatan.
Situasi ini mengundang pelbagai reaksi, terutamanya dalam kalangan pemain dan pengendali pasukan.
Pemain-pemain dilihat memanfaatkan rehat penyejukan sekali setiap separuh masa yang diperkenalkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam perlawanan minggu ini.
Malah, pengendali Chelsea, Enzo Maresca, meluahkan rasa tidak puas hati apabila memberitahu media bahawa adalah mustahil untuk mengatur sesi latihan biasa panas terikat pada sebelah petang di Philadelphia.
Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPRO) pula menyifatkan keadaan ini sebagai loceng penggera yang perlu diberi perhatian serius.
Malah FIFPRO mendesak badan bola sepak dunia untuk menilai semula waktu sepak mula perlawanan bagi menangani isu cuaca panas dengan lebih baik, sambil turut memuji fleksibiliti penganjur seperti FIFA yang menambah rehat penyejukan dalam setiap perlawanan.
“Kami percaya masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain.
“Protokol dan undang-undang permainan sedia ada memerlukan semakan semula segera, ini adalah cabaran yang perlu ditangani oleh seluruh industri bola sepak bersama-sama,” kata FIFPRO lagi.
Jadual masa perlawanan bagi Piala Dunia 2026, yang akan dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada, masih belum diumumkan.
Namun, penganjur dijangka akan berdepan cabaran besar jika keadaan panas terik ini berulang sepanjang temasya bola sepak terbesar dunia tersebut.
Isu cuaca panas bukan sesuatu yang asing bagi mereka yang mengikuti kejohanan pada tahun 1994, kali terakhir Amerika Syarikat menjadi tuan rumah.
“Suara-suara aduan yang bergema di seluruh negara boleh menenggelamkan sorakan di sembilan stadium yang mempamerkan acara empat tahunan bola sepak antarabangsa,” tulis media tempatan
seminggu selepas temasya itu bermula, ketika suhu tinggi menyebabkan penyokong-penyokong ‘berwap’.
Lebih 90,000 penyokong-penyokong membanjiri stadium untuk menyaksikan perlawanan akhir di Pasadena, di mana suhu mencecah 37.8°C, sekali gus merupakan kali terakhir final Piala Dunia dimainkan sepenuhnya pada waktu siang.
Dengan kejohanan yang diperluaskan daripada 32 kepada 48 pasukan, sepak mula pada sebelah petang mungkin tidak dapat dielakkan bagi memenuhi tuntutan jadual dan menampung pasaran penyiaran Eropah yang lumayan.