amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tanggungjawab membanteras penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar dan remaja bawah umur tidak sepatutnya diletakkan di bahu guru serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, isu vape perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama demi memastikan kesejahteraan holistik pelajar dan generasi muda.
Beliau berkata, semua pihak perlu menggalas amanah ini bersama-sama demi pembangunan sejahtera warga semasa dan akan datang.
“Guru dan warga pendidikan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) harus terus mendidik serta menyedarkan pelajar mengenai bahaya penggunaan vape.
“Kerjasama erat dan bersungguh-sungguh daripada KKM serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sangat penting dalam memastikan usaha ini benar-benar berkesan,” katanya.
Mohamad Ali berkata, selain itu, ibu bapa, penjaga serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memainkan peranan utama memantau dan menasihat anak-anak di rumah.
Katanya, alumni sekolah juga disaran memberi sokongan padu supaya usaha memerangi vape dapat diperkukuhkan di semua peringkat.
“Persekitaran pembangunan pendidikan perlu sentiasa dalam keadaan baik dan berkesinambungan supaya dapat memperkukuh nilai murni dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau yakin jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, gejala vape yang kian menular dalam kalangan pelajar dapat dibanteras sekali gus menyelamatkan masa depan generasi muda negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd