PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) menubuhkan pasukan bola sepak baharu, Kedah FA selepas mengambil kira kemampuan kewangan serta kos pengurusan lebih rendah berbanding memulihkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) termasuk melunaskan hutang tertunggak.
Exco Belia dan Sukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din berkata, anggaran bajet bagi menguruskan pasukan baharu sekitar RM3 juta hingga RM4 juta setahun, atau kira-kira RM100,000 sebulan dan ia dalam kemampuan, berbanding kos mengurus KDA FC yang mencecah RM13 juta setahun.
Menurutnya, oleh itu pendekatan diambil untuk membentuk pasukan Kedah FA bagi membolehkan terdapat pasukan bola sepak mewakili Kedah dalam Liga Semi Pro A1 musim ini.
“Bila tubuhkan pasukan baharu, kosnya lebih rendah berbanding pulihkan KDA FC dan pada masa sama perlu lunaskan hutang tertunggak, ini di luar kemampuan kita.
“Antara syarat ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ialah pasukan perlu melunaskan hutang tertunggak bagi melayakkan diri beraksi di Liga Semi Pro A1.
“Atas kapasiti itu, kita ambil jalan tengah supaya negeri tidak tergantung sehingga tiada pasukan mewakili Kedah.
“Jadi kita daftar atas nama KFA dan FAM mengalu-alukan kerana persatuan ini membabitkan kerajaan negeri yang sedikit sebanyak akan membantu,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Unifi Menara Alor Setar Run 2025, di sini pada Sabtu.
Muhamad Radhi berkata, pembentukan pasukan baharu bukan sahaja lebih relevan dari segi kewangan tetapi menjadi platform melahirkan lebih ramai pemain tempatan berbakat yang boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan.
“Perbelanjaan untuk Liga A1 tidak terlalu tinggi, jadi kita harapkan selepas ini tak timbul soal sumber kewangan untuk tampung gaji serta kebajikan pemain.
“Malah pemain import hanya dibenarkan tiga orang, kita boleh fokus kepada pembangunan bakat tempatan untuk diketengahkan sebagai pemain baharu Kedah FA,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, pengurusan pasukan KDA FC termasuk pemiliknya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebelum ini pernah berbincang dengan KFA dan kerajaan negeri namun tiada penyelesaian konkrit dicapai.
“Pada peringkat awal, mereka memang berminat dengan kita dan ada proses pertemuan dengan pimpinan KFA, tetapi tiada penyelesaian khusus daripada KDA FC,” katanya.
Muhamad Radhi tegaskan, kekangan kewangan bukan hanya berlaku di Kedah malah menjadi cabaran di kebanyakan negeri lain, yang akhirnya terpaksa membantu kewangan pasukan bola sepak walaupun pada asalnya mahu diserahkan kepada pengurusan syarikat atau pihak ketiga.
“Kerajaan negeri juga perlu tumpu kepada perkara lain yang lebih mustahak.
“Bola sepak mungkin satu per sepuluh daripada peranan kerajaan, bukan kita tak sokong tetapi perlu berbelanja berpada-pada,” ujarnya.
Katanya lagi, peruntukan keseluruhan kerajaan negeri bagi pembangunan semua sukan hanya RM8 juta setahun dan kerajaan perlu memastikan sukan lain juga tidak terabai.
“Saya harap semua pihak buang komen-komen negatif, bola sepak cukup sinonim dengan orang Kedah, sama-sama kita menyokong KDA FC dan Kedah FA untuk kepentingan bola sepak negeri ini,” katanya.
Pada 24 Jun lalu, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar meluahkan rasa kecewa kerana berasa ditinggalkan bersendirian menguruskan kelab itu yang berdepan kemelut kewangan.
Beliau turut kecewa apabila beberapa bekas rakan pemilik telah menarik diri, dan pada masa sama KFA pula menubuhkan pasukan baharu, Kedah FA, yang turut beraksi dalam Liga Semi Pro A1 musim ini.
Kehadiran dua pasukan mewakili Kedah turut menjadi bualan peminat bola sepak sehingga ada pihak mempersoalkan tindakan kerajaan negeri tidak membantu KDA FC untuk bangkit, sebaliknya menubuhkan pasukan baharu.