Aksi pemain Bunga Raya 7s semasa Kejohanan Ragbi Johor 7s di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin pada Jumaat. Foto Kredit: Ahmad Shazali
SKUAD ragbi wanita tujuh sebelah (7s) negara terus memperkemas persiapan menjelang dua kejohanan utama iaitu Siri Ragbi Asia 7s 2025 yang dijadual berlangsung pada September serta temasya Sukan SEA Thailand 2025, Disember depan.
Ketua jurulatih, Mohd Faiz Samsukhidir berkata, Kejohanan Ragbi Johor Tujuh Sebelah (Johor 7s) yang berakhir hari ini menjadi antara medan penting dalam rangka memantapkan keserasian dan prestasi pasukan.
Menurut beliau, pasukan juga sedang berlumba dengan masa dalam menyenarai pendek pemain-pemain bagi melengkapkan senarai untuk membawa cabaran negara ke Siri Ragbi Asia 7s dan Sukan SEA 2025.
“Perkembangan semasa, skuad wanita Bunga Raya 7s masih dalam fasa pemilihan pemain. Kami sedang menilai calon melalui beberapa kejohanan tempatan iaitu Kejohanan Perlis Royal 7s, Kejohanan Johor 7s dan Kejohanan Tujuh Sebelah Kebangsaan yang bakal berlangsung di Terengganu bulan depan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Mengulas aksi di Perlis Royal 7s baru-baru ini, Mohd Faiz menjelaskan beliau menurunkan barisan yang majoriti pemain senior sebagai penanda aras kepada tahap persefahaman dan prestasi terkini pasukan.
“Latihan berpusat secara penuh masih belum dapat dilaksanakan, dan pasukan hanya sempat berkumpul selama seminggu sebelum kejohanan di Perlis.
“Jadi kejohanan itu menjadi platform penting menilai potensi serta kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang kejohanan seterusnya,” jelasnya.
Sebagai rekod, Kejohanan Tujuh Sebelah Kebangsaan di jadual berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Terengganu dari 25 hingga 27 Julai depan.
Kejohanan Tujuh Sebelah Kebangsaan akan menjadi pentas terakhir sebelum anak buah Mohd Faiz membuka kempen di peringkat Asia dan temasya Sukan SEA Thailand.